Bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha untuk memperbanyakkan pelaksanaan laluan kontra atau tidal flow di beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, antara jalan yang dikenal pasti adalah Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur, Jalan Cheras, Jalan Istana serta kawasan Bulatan Pahang.
“Kita akan lihat lebih terperinci berkenaan pelaksanaan tidal flow di laluan Lebuhraya Seremban-KL bagi membantu penyuraian trafik masuk dan keluar dari pusat bandar ketika waktu puncak.
“Tidal flow sedia ada di Jalan Cheras sepanjang 4 km dipanjangkan kepada 8 km iaitu sehingga ke Jalan Maharajalela,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Jelas beliau, inisiatif itu antara penyelesaian jangka sederhana yang diputuskan dalam jawatankuasa khas bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota. Selain itu, DBKL juga telah mengenal pasti 13 lokasi jalan utama titik panas (hotspot) kesesakan di ibu negara antaranya Jalan Kuching, Jalan Yew, Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan penambahan lorong di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) berhampiran kawasan Bandar Tasik Selatan berkuat kuasa serta-merta sebagai kaedah dan tindakan penyuraian kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
“Sekarang terdapat dua lorong susulan, terdapat kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan, jadi kami putuskan untuk menjadikan ia tiga lorong secara kekal sekali gus menaik taraf keadaan jalan di ibu kota,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.