Dalam majlis pelancaran yang sama untuk beberapa model KTM dan GasGas, Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd turut melancarkan Husqvarna Norden 901 untuk pasaran Malaysia, pada harga RM98,800 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Motosikal jenis adventure/touring ini dipacu oleh enjin dua silinder selari DOHC 889 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,000 rpm dan tork 100 Nm pada 6,500 rpm. Dalam keadaan standard, penunggang disediakan dengan tiga mod sementara satu lagi mod iaitu Explorer disediakan sebagai pilihan tambahan.
Bahagian suspensi dipegang oleh fork USD WP Apex 43 mm boleh laras sepenuhnya di bahagian hadapan, sementara bahagian belakang menggunakan monoshock WP Apex dengan pelarasan lantunan dan pra beban. Tetapan ini memberikan jarak gerak suspensi 220 mm di hadapan dan 215 mm di belakang.
Brek cakera 320 mm bersama angkup empat piston digunakan untuk menghentikan roda hadapan yang mempunyai rim 21 inci manakala rim 18 inci di belakang mendapat cakera brek 260 mm dengan angkup dua piston. Tangki bahan api mempunyai kapasiti 19 liter.
Kelengkapan elektronik lain yang disediakan secara standard pada Norden 901 adalah termasuk kawalan cengkaman (boleh laras sembilan tahap jika mempunyai mod Explorer), quickshifter (naik dan turun), ABS dengan mod Offroad dan boleh ditutup sepenuhnya, serta cruise control.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.