Kereta rosak kerana jalan berlubang; seorang lelaki menang tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang

Kereta rosak kerana jalan berlubang; seorang lelaki menang tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang

FMT melaporkan bahawa seorang pemilik kenderaan, Fahrurrazi Hamid berjaya memenangi tuntutan pampasan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas kereta yang dipandunya mengalami kerosakan akibat jalan berlubang.

Menurut Fahrurrazi, dia memandu pada waktu malam di Jalan Sungai Long berhampiran Taman Perniagaan Budiman pada September 2020 apabila keretanya melanggar lubang pada jalan, menyebabkan tayar dan rim kiri belakang keretanya rosak. Namun selepas gagal mencari rim dengan reka bentuk yang sama keeseokan harinya, dia terpaksa menggantikan keempat-empat rim dan dua tayar dengan kos keseluruhan RM3,580.

Fahrurrazi kemudiannya memfailkan tuntutan terhadap MPKj dan hanya ditawarkan RM1,430 daripada Takaful Malaysia Berhad, iaitu syarikat insurans majlis tempatan berkenaan, sebagai pampasan bagi kos satu tayar dan satu rim. Selepas permintaan untuk jumlah disemak ditolak, dia membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna pula tetapi dimaklumkan bahawa tribunal itu tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu.

Akhirnya Fahrurrazi memfailkan tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ke mahkamah untuk mendapatkan pampasan bagi dua tayar dan empat rim tayar dan lain-lain di Mahkamah Majistret Kajang dan perbicaraan berlangsung pada 15 Julai tahun ini.

Kereta rosak kerana jalan berlubang; seorang lelaki menang tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang

Dengan mewakili dirinya di mahkamah, Fahrurrazi menjelaskan mengapa beliau terpaksa menggantikan keempat-empat rim itu dengan kos RM450 bagi setiap rim terpakai. Katanya, dia tidak menemukan rim dengan reka bentuk serupa untuk menggantikan rim yang rosak dan rim terpakai juga lebih murah berbanding membeli empat rim baharu, yang berharga RM687.50 setiap satu, atau RM2,750 bagi kesemuanya.

MPKj yang diwakili penolong pegawai undang-undang Muhidin Mahmud menyatakan pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelenggara semua jalan bawah bidang kuasanya dan menafikan liabiliti. Beliau mendakwa, pemanduan melulu Fahrurrazi menjadi punca kejadian, seperti yang terbukti dengan rim dan tayar yang rosak.

Muhidin juga menyatakan bahawa tuntutan penggantian keempat-empat rim adalah kerana pengayaan yang tidak adil kerana hanya satu rim yang rosak.

Walau bagaimanapun, Majistret Noor Firdaus Rosli memutuskan MPKj bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi. Mahkamah berpihak kepadanya dengan memerintahkan MPKj menyelesaikan tuntutan sebanyak RM2,980, merangkumi kos empat rim (RM1,800), satu tayar (RM800), larasan semula camber (RM180), dan caj tunda (RM200).

“Melihat gambar daripada plaintif, memang wujud lubang,” kata Noor Firdaus dan beliau turut menambah bahawa jelas jalan itu tidak diselenggara dengan baik ketika memutuskan bahawa MPKj perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi.

Kereta rosak kerana jalan berlubang; seorang lelaki menang tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang

“Mengenai sama ada plaintif menyumbang kepada kerosakan itu, dapatan saya adalah negatif. Kejadian berlaku pada waktu malam, dan mana-mana orang munasabah tidak boleh diharapkan untuk menyedari dan mengubah haluan kenderaan mereka untuk mengelak lubang itu,” kata majisret itu lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa hujah yang dikemukakan oleh MPKj yang mendakwa wujud unsur pengayaan yang tidak adil dalam menggantikan keempat-empat rim, majistret berkata, tidak masuk akal jika kereta boleh dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk.

Malah majistret berkenaan turut memetik Kertas Teknikal Persatuan Jurutera Automotif (SAE) bertajuk “Kesan reka bentuk roda pada seretan aerodinamik kenderaan penumpang” yang diterbitkan tiga tahun lepas yang menyatakan “25% daripada seretan aerodinamik kenderaan disebabkan oleh rodanya, dan mencadangkan sesebuah (kenderaan) untuk dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk hanya akan mengundang akibat (buruk) yang tidak dijangka, selain daripada hakikat bahawa (perkara ini) tidak pernah dibuat, sekurang-kurangnya oleh mana-mana individu yang munasabah.”

Masalah kerosakan yang disebabkan oleh jalan berlubang ini bukan perkara baharu yang berlaku dalam negara, malah ia turut pernah menyebabkan kemalangan. Jadi selepas ini jika anda mengalami masalah yang sama, mungkin tindakan yang dibuat oleh saudara Fahrurrazi ini boleh dicontohi untuk menuntut hak masing-masing.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required