ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya KualaLumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) telah mengumumkan projek pengurusan banjir bagi fasa satu di LPT1 bakal dimulakan pada 1 Oktober ini.

Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, pihaknya telah mengambil beberapa langkah penting untuk memastikan kelancaran projek, termasuk menjalankan kajian banjir secara terperinci dan komprehensif di sepanjang LPT1. Katanya, ia bagi mengenal pasti komponen tebatan banjir yang akan dilaksanakan demi mengurangkan risiko kejadian banjir daripada berulang.

“ANIH Berhad sebelum ini telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan termasuk menilai cabaran semasa bagi melengkapkan cadangan rekabentuk dan proses kerja projek itu.

“Antara kajian utama yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) termasuk semakan dan penilaian data kajian lampau berkaitan isu banjir, termasuk analisis dan penilaian hidrologi, hidraulik serta kajian kesesuaian tanah. Keseluruhan projek pengurusan banjir ini dijangka akan mengambil masa selama dua tahun,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah beliau, projek yang akan membabitkan 11 kawasan kritikal sepanjang LPT1 itu adalah sebahagian komitmen berterusan syarikat dan kerajaan bagi mempertingkatkan tahap keselesaan dan keselamatan para pengguna LPT1 terutama pada musim tengkujuh. Katanya lagi, fasa pertama membabitkan jaringan di Kilometer 124 dan dijangka mengambil masa selama 12 bulan.

“Sehubungan itu, ANIH Berhad akan menutup laluan kecemasan arah ke Kuala Lumpur di lokasi selama enam bulan bermula dari Oktober ini sehingga April 2023. Laluan kecemasan Kilometer 124 arah ke Kuantan pula akan ditutup bermula dari Mei sehingga November 2023.

“Selain menutup laluan kecemasan, ANIH Berhad juga akan mengaktifkan laluan kontra di kawasan terbabit bagi memastikan impak lalu lintas berada pada tahap minimum sepanjang tempoh itu,” katanya.

Justeru, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda keselamatan sepanjang projek pengurusan banjir itu dijalankan.