Walau pun sebelum ini Kementerian Sains, Teknolofi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 5,000 stesen pengecasan bagi kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara pada tahun ini dengan penumpuan di bandar-bandar utama, tetapi setakat ini jumlah stesen tersebut masih kurang.
Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim, yang berkata buat masa ini, jumlah stesen pengecasan tersebut masih masih rendah iaitu kurang daripada 1,000 stesen yang direkodkan di seluruh negara, laporan Bernama.
“Selain tumpuan di bandar-bandar utama, kita juga dapat permintaan daripada negeri lain bagi membolehkan kenderaan ini berjalan dari negeri ke negeri dan memerlukan kemudahan stesen pengecasan sepanjang jalan.
“Jadi, usaha sedang dilaksanakan kerajaan dengan memanggil semua pihak berkepentingan bagi membolehkan kita melihat bagaimana untuk memperbanyakkan lagi stesen pengecasan,” katanya.
Menurutnya, MOSTI memberi penekanan terhadap teknologi berkenaan bagi mempercepatkan usaha meningkatkan penggunaan EV sekali gus menangani masalah peningkatan pelepasan karbon dalam negara. Dalam masa sama pelbagai penyelidikan sedang dilaksanakan bagi membolehkan negara turut terlibat dalam industri berkaitan komponen EV antara lain berkaitan kemudahan penyimpanan tenaga bateri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.