Polestar 3 kini didedahkan sepenuhnya secara rasmi, setelah beberapa bulan di tunjuk sebahagiannya. Ia merupakan model EV kedua bagi sub-jenama Volvo-Geely ini selepas Polestar 2, dan akan menjadi pesaing bagi model seperti BMW iX dan Audi e-tron.

SUV ini menerapkan sentuhan rekaan yang pernah dihasilkan melalui model konsep Precept, yang direka untuk memperbaiki aerodinamik. Misalnya, bahagian gril SUV ini tidak tertutup sepenuhnya, dengan masih ada bukaan kecil untuk menyalurkan udara ke bahagian bonet.

Lampu utama bentuk T juga masih menempatkan DRL LED khusus Polestar, walaupun tidak terlalu menggamit perhatian seperti yang ada pada sedan konsep itu. Panel hitam di sudut bampar depan juga disambungkan ke bahagian apron, sementara bukaan udaranya lebih besar untuk disesuaikan dengan saiz SUV berkenaan.

Dari sisi, terlihat jelas body cladding, tiang C yang besar serta cermin sisi dengan lengan yang panjang. Garis bumbung juga lebih rendah di bahagian belakang dan dilanjutkan imejnya dengan spoiler, dan kelihatan seperti rekaan bumbung terapung.

Dari segi ukuran, SUV ini mempunyai dimensi 4,900 mm panjang, 2,120 mm lebar (termasuk cermin sisi), 1,627 mm tinggi dan jarak antara roda 2,985 mm. Ini bermakna SUV Polestar ini lebih kecil daripada iX. Menarik juga untuk disebut, reka bentuk Polestar 3 ini memberikan bacaan drag coefficient hanya 0.29.

Ruang dalaman pula menerapkan rekaan minimal, dengan papan pamuka menempatkan corong udara nipis dan kluster instrumen digital 9-inci serta skrin sentuh 14.5-inci menegak. Skrin berkenaan menampilkan sistem operasi yang dibangunkan bersama Google dan menggunakan asas Android Automotive OS.

Melalui sistem berkenaan, pengguna akan menikmati pelbagai servis keterhubungan yang turut didokong kemaskini over-the-air (OTA) untuk penambahbaikan berterusan perisian serta pengenalan ciri baru tanpa perlu ke pusat servis.

Polestar 3 ini menyediakan ruang sebanyak 484 liter untuk but belakang (termasuk 90 liter di bawah lantai) dengan kerusi dalam kedudukan biasa, atau 1,411 liter jika dilipat. Turut disediakan adalah ruang simpanan di depan dengan saiz 32 liter tambahan, manakala bumbung pula boleh menampung beban 100 kg.

SUV ini didatangkan dengan satu pilihan sistem janaan kuasa dikenali sebaga “Long range Dual Motor”. Ini terdiri daripada bateri lithium-ion 400-volt dengan pam haba untuk menguruskan thermal, 204 sel prismatik dalam 17 modul dan tenaga boleh guna berkapasiti 107 kWh (111 kWh secara kasar) yang boleh memberikan jarak 610 km mengikut kitaran WLTP.

Polestar tidak memaklumkan tempoh pengecasan, tetapi ada dinyatakan yang model ini menyokong pengecasan AC (sambungan Type 2) sehingga 11 kW dan pengecasan pantas DC (CCS2) sehingga 250 kW, yang mampu mengecas bateri dari 10%-80% dalam masa hanya 30 minit. Turut ada ialah sokongan untuk pengecasan dua arah.

Kuasa dari bateri itu memacu dua motor elektrik — satu untuk setiap gandar — yang memberikan output keseluruhan sistem sebanyak 489 PS (483 hp atau 360 kW) dan 840 Nm tork, dengan laju maksimum 210 km/j serta pecutan 0-100 km/j dalam masa lima saat.

Polestar juga menawarkan pakej Performance yang menambah angka janaan kepada 517 PS (510 hp atau 380 kW) dan 910 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j kepada 4.7 saat, dengan laju maksimum yang sama. Ini cukup menarik untuk dicapai oleh sebuah kenderaan mempunyai berat antara 2,584 hingga 2,670 kg, dan boleh menunda beban seberat 2.2 tan.

Polestar 3 menggunakan suspensi double wishbone di depan dan tetapan integral link di belakang, yang dihubungkan oleh suspensi udara dengan dua kebuk dan penyerap hentak adaptif yang boleh membuat larasan setiap dua milisaat (500 Hz).

Brek daripada Brembo juga penting untuk disebut, dengan bahagian depan dilengkapi kaliper empat-omboh dan cakera 400 mm, sementara di belakang dengan kaliper omboh tunggal dengan cakera 390 mm. Untuk lebih ketangkasan, motor elektrik di belakang merupakan unit klac berkembar dengan ciri torque vectoring, dan boleh di”rehat”kan supaya hanya motor elektrik depan yang berfungsi, untuk menjimatkan tenaga.

Kelengkapan lain yang ada termasuklah bumbung panoramik, semua lampu LED, pemegang pintu tersorok dan rim 21-inci. Plus Pack dan Pilot Pack juga disediakan, dengan ciri mewah seperti sistem audio Bowers & Wilkins dengan kesan bunyi 3D dan Dolby Atmos dan 25-pembesar suara.

Harganya bermula dari 89,900 Euro (RM409,060), dengan Performance Pack melibatkan tambahan 6,600 Euro (RM30,021). Produksi dijangka bermula di kilang Volvo Cars di Chengdu, China pada pertengahan 2023, dengan serahan pertama dijangka dilakukan pada suku keempat 2023.