Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah pun mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan September 2022, dengan mengumumkan sebanyak 67,659 kenderaan telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 99 unit dari 67,560 unit (pada mulanya dilaporkan sebanyak 66,614 unit) yang terjual pada Ogos, atau meningkat 0.15%.

Persatuan ini berkata jumlah yang konsisten ini disebabkan syarikat kereta yang terus memenuhi tempahan yang diterima sebelum 30 Jun 2022, ketika pengecualian cukai jualan (SST) berakhir. Prestasi bulan lalu dan juga pada bulan Ogos menunjukkan bahawa tahap pengeluaran kelihatan agak stabil selepas bulan Julai yang tidak menentu.

Berbanding bulan yang sama pada 2021, jumlah yang dicatatkan pada September adalah 53% (atau 23,432 unit) lebih tinggi berbanding 44,227 unit yang direkodkan pada tahun lalu. Sementara itu, jumlah jualan keseluruhan setakat ini untuk sembilan bulan pertama 2022 telah mencecah 516,798 unit, meningkat sebanyak 62% (atau 197,971 unit) berbanding 318,827 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi bulan Oktober, MAA meramalkan rekod jualannya bakal lebih kurang sama dengan September, dengan syarikat kereta masih terus memenuhi tempahan kenderaan yang tertunggak yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai. Dengan keputusan kerajaan yang membenarkan pengecualian SST boleh digunakan untuk tempahan kenderaan pada 30 Jun dan pendaftaran sebelum 31 Mac 2023, jumlah jualannya mungkin akan konsisten sehingga hujung 2022, dengan jumlah akhirnya ditentukan oleh keupayaan pengeluaran.