Ada beberapa kejadian yang dikongsi di media sosial kebelakangan ini yang sepatutnya boleh dihindari. Yang dimaksudkan di sini adalah kemalangan yang disebabkan oleh lori kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya atau lebuhraya yang diletakkan di lorong kanan yang paling laju, selalunya tanpa pendekatan keselamatan seperti kon dan sebagainya, yang akhirnya menyebabkan kemalangan.

Agaknya sekarang adalah masa yang mana semua kita perlu ekstra berhati-hati ketika berada di atas jalan raya — musim pilihanraya, yang kebiasaannya akan ada banyak jalan-jalan yang dibaik pulih (walaupun ia tidak rosak). Kemalangan disebabkan hal ini tidak patut berlaku, kerana sepatutnya ada langkah keselamatan yang diambil oleh petugas bagi memastikan situasi selamat untuk semua. Tetapi, seperti yang kita tahu halnya di negara yang tercinta ini, itu bukanlah apa yang dilakukan.

Satu kejadian hujung minggu lalu yang telah meragut nyawa tiga sekeluarga di Kilometer 216 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Jejantas Ayer Keroh, seperti dilaporkan oleh Harian Metro. Puncanya? Kereta terbabit telah melanggar belakang sebuah lori yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan pembahagi jalan, berhenti di lorong paling kanan dan sedang dalam proses meletakkan kon keselamatan. Pemandunya, bersama isteri dan seorang anak kecil terkorban dalam kejadian itu.

Dalam satu video rakaman dashcam yang dikongsikan di DashCam Owners Malaysia di Facebook pula sempat menunjukkan situasi yang lebih kurang sama: deretan lori selenggara lebuhraya yang berhenti di lorong paling kanan tanpa sebarang kon keselamatan. Ini dilaporkan juga di laluan yang sama, lebuhraya PLUS dari jajaran dari Johor ke Melaka. Mujur, kali ini pemandunya sedar situasi berkenaan dan berhasil memperlahankan kenderaan sebelum menukar ke lorong tengah untuk melepasi deretan lori penyelenggaraan tersebut.

Melihat kepada dua contoh kejadian ini, ada hal yang tak kena dengan prosedur keselamatan yang sepatutnya diambil dan diamalkan oleh syarikat atau petugas penyelenggaraan jalanraya yang terlibat. Kedua-duanya gagal mengambil langkah keselamatan dengan efektif. Tidak kira apa pun alasannya, tanda amaran dan lingkungan keselamatan perlu terlebih dahulu diletakkan dengan prosedur yang cekap, mengambil kira keadaan di lebuhraya yang sememangnya akan melihatkan pengalihan trafik terhadap kenderaan yang bergerak laju.

Nampaknya, seperti selalu, kita perlu mengambil inisiatif untuk terlebih dahulu untuk menjaga keselamatan diri sendiri sebelum mengharapkan amalan dan prosedur seperti yang dinyatakan itu mengambil tempat yang sepatutnya. Berhati-hati, semua. Semoga kita dilindungi.