Benelli turun ke EICMA 2022 dengan membawa pelbagai model, dan selain TNT 500, dua lagi model serba baru yang diperkenalkan adalah BKX 250 dan BKX 250S. Asas dua motosikal ini adalah sama, tetapi bentuk dan kelengkapannya dijadikan bersesuaian dengan karekter masing-masing iaitu BKX 250 sebagai sebuah jentera adventure, manakala BKX 250S sebuah motosikal naked.

Enjin sama seperti barisan model 250 cc Benelli sebelum ini digunakan pada BKX 250 dan 250S, iaitu unit satu silinder DOHC 249 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan, namun telah diberi naik taraf pada beberapa bahagian termasuk sistem penyejukan, pengudaraan dan ekzos. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 25.8 hp pada 9,250 rpm dan 21 Nm tork pada 8,000 rpm.

Suspensi kedua-dua model ini menggunakan padanan fork USD 41 mm (tanpa pelarasan) di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, tetapi jarak geraknya berbeza, iaitu 180 mm untuk 250, dan 150 mm untuk 250S. Hasilnya, 250 menyediakan jarak dari tanah 220 mm serta tinggi tempat duduk 835 mm manakala 250S 175 mm dan 800 mm.

Bersesuaian dengan kegunaan masing-masing juga, 250 diberi dengan rim spoked 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, sementara 250 datang dengan rim aluminium 17 inci. Brek adalah sama, iaitu unit cakera 280 mm tunggal dengan angkup empat piston di hadapan, dan cakera 240 mm tunggal dengan angkup satu piston. ABS dual-channel diberikan standard.

Panel LCD ringkas digunakan untuk memaparkan maklumat penting, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 13.5 liter. Berat motosikal ini masing-masing adalah 165 kg untuk 502, dan 160 kg untuk 250S. Turut ditambah kepada 250 adalah soket pengecas USB.

Walaupun dengan rekaan yang futuristik ini, tiada satu ayat pun yang mengatakan ini adalah model konsep, dan Benelli memberitahu ia akan dikeluarkan untuk pasaran pada pertengahan tahun hadapan, bersama versi 125 cc untuk kedua-duanya.

GALERI: Benelli BKX 250

GALERI: Benelli BKX 250S