Kami faham, menunggang motosikal dapat memberikan sensasi yang tersendiri. Rasa angin meniuo muka, tiada apa penghalang di hadapan dan dicampur pula melakukannya bersama rakan-rakan, ia pastinya menimbulkan keterujaan. Tapi ingat, jalan raya itu juga dikongsi dengan orang lain, dan keselamatan penunggang motosikal adalah lebih terancam.
Semua perkara ini dapat dilihat dalam satu video yang tular dalam Twitter. Lokasi sebenarnya tidak dapat dipastikan, tetapi antara papan tanda yang dilepasi tertulis Kg Pinang, dan melibatkan lima buah motosikal dengan ada di antaranya dinaiki bersama pembonceng.
Pada awal video, beberapa orang di antara mereka dilihat berborak sambil menunggang, dengan motosikal berada bersebelahan, dan boleh menjadi penghalang bagi kenderaan lain di belakang. Tambah teruk, ia kemudiannya berakhir dengan kemalangan apabila sebuah lagi motosikal di belakang (tidak diketahui sama ada rakan mereka ataupun tidak) terlanggar motosikal di hadapan dan menyebabkan kedua-duanya bergelimpangan atas jalan.
Dah la block jalan, berborak lagi atas motor. ???? hati2 semua bila atas jalan raya pic.twitter.com/lJuHB1kCWs
— MyJoe Store ???????? (@myjoe_) December 4, 2022
Banyak perkara sebenarnya boleh dipelajari daripada video ini. Antaranya, ingatlah bahawa jalan raya dikongsi bersama dan janganlah menyusahkan pengguna lain. Kemudiannya tengok pula keadaan apabila mereka sudah jatuh. Helmet terus terbuka selepas satu impak, menunjukkan ia tidak cukup selamat.
Pelbagai helmet boleh didapati dalam pasaran sekarang, dan walaupun ia mempunyai pelekat ujian kualiti tempatan, masih dilihat kurang selamat kerana mempunyai bentuk separuh dan binaan yang nipis. Kemudiannya apabila memakai helmet, pastikan juga anda mengikatnya dengan kemas dan bukan sekadar diletak sahaja atas kepala. Itupun kalau anda mahu naikkan sedikit peluang selamat apabila kemalanganlah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.