Kerajaan Johor merancang untuk mewujudkan hab permotoran di Ayer Hitam, di daerah Kluang, sebagai usaha untuk memeriahkan kembali sukan permotoran di negeri terbabit.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah, hab permotoran berkenaan melibatkan pembangunan di kawasan seluas 2.8328 hektar, di atas tanah milik Kementerian Dalam Negeri di bawah pentadbiran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), laporan Bernama.
“Insya-Allah, pembinaan yang akan bermula seawal Januari 2023 nanti akan menyemarakkan lagi sukan permotoran di Johor ditambah dengan lokasi strategik Ayer Hitam yang terletak di “central of Johor”.
“Berdasarkan rekod penganjuran masa lalu, Ayer Hitam telah banyak menganjurkan acara sukan permotoran sebelum ia terhenti sekitar tahun 2018 dan 2019,” katanya menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam.
Beliau turut berkata, Ayer Hitam sering menjadi lokasi penganjuran sukan permotoran seperti Malaysian Cub Prix, Motorcross, Pocket Bike, Mountain Bike selain drift dan go-kart.
Tambah ADUN Larkin ini, pihaknya akan memastikan hab sukan yang terletak di Johor Bahru khususnya di kawasan Larkin akan ditambah baik di bawah kelolaan Perbadanan Stadium Johor (PSJ) dan Majlis Sukan Negeri Johor agar lebih terurus dan diselenggara dengan rapi serta tidak menjadi “gajah putih”.
“Saya juga berharap setiap daerah di Johor ini juga akan diwujudkan fasiliti sukan atau hab sukan buat para atlet yang yang tidak dapat ke Johor Bahru selain adanya Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC),” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.