Proton hantar kumpulan pertama ke Geely untuk latihan EV; termasuk R&D, jualan dan selepas jualan

Proton hantar kumpulan pertama ke Geely untuk latihan EV; termasuk R&D, jualan dan selepas jualan

Proton hari ini mengumumkan bahawa kumpulan pertama kakitangannya telah dihantar ke Hangzhou, China bagi mempelajari berkenaan kenderaan tenaga baharu (NEV) termasuk kenderaan yang menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya (EV).

Kumpulan pertama yang terdiri dari 16-orang staf Proton yang merupakan pekerja industri berpengalaman serta jurutera muda yang lulus dari Program Bakat Muda Syarikat berkenaan akan ditempatkan di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo selama enam-bulan. Mereka bakal dilatih dalam pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan, dan jualan serta perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu yang bakal diperkenalkan secara beransur-ansur oleh Proton selepas ini.

Menurut Proton, selepas ini lebih ramai kakitangannya akan dihantar ke China memandangkan syarikat tersebut memerlukan pengetahuan teknikal daripada Geely untuk membangunkan rangkaian NEVnya sendiri.

“Apabila Proton dan Geely mula bekerjasama pada tahun 2017, salah satu matlamat perkongsian itu adalah untuk Proton mempercepatkan jadual pembangunan modelnya dengan menggabungkan teknologi yang sedia ada daripada Geely. Matlamat itu berjaya dicapai dan kini, kami memanfaatkan pengalaman global kumpulan dalam NEV untuk memberi rangsangan kepada jadual masa pembangunan model kami sendiri,” kata CEO Proton, Li Chunrong.

Proton hantar kumpulan pertama ke Geely untuk latihan EV; termasuk R&D, jualan dan selepas jualan

“Perancangan awal kami adalah memulakan program ini lebih awal tetapi ia telah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, dengan kelonggaran terhadap sekatan perjalanan baru-baru ini, Proton kini boleh meraih manfaat sebagai salah satu jenama automotif kolektif yang paling pelbagai dan berfikiran ke hadapan,” tambahnya lagi.

Menurut Proton, kakitangan yang dihantar ke China ini bukan hanya menjalankan latihan, malah mereka akan membantu jenama EV smart di bawah Geely untuk menentukan spesifikasi akhir smart #1 yang akan masuk ke pasaran Malaysia pada suku keempat 2023. Ini kerana corak penggunaan dan tingkah laku pengguna berbeza dari negara ke negara, jadi maklum balas daripada kakitangan Proton adalah penting untuk memastikan ia memenuhi keperluan pembeli Malaysia.

Seperti yang telah diketahui sebelum ini, smart akan kembali ke pasaran tempatan bukan lagi dengan pengedar-pengedar Mercedes-Benz, tetapi menerusi Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET), iaitu anak syarikat Proton. Proton juga turut akan mengedarkan smart pada pasaran Thailand menerusi kerjasama tersebut.

Proton turut menyatakan bahawa program latihan ini turut bakal memberikan manfaat untuk masa hadapan kerana pasukan kakitangannya selepas ini boleh terlibat lebih awal dalam pembangunan satu-satu model bagi memperhalusi spesifikasi yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Proton memberitahu bahawa kebanyakkan kakitangan yang dihantar ke China kali ini adalah terdiri dari mereka yang pertama kali terlibat dalam program sedemikian. Setiap dari mereka diberi peluang untuk bercakap dengan pengurusan kanan Proton mengenai jangkaan dan matlamat mereka untuk program latihan tersebut sebelum berlepas pada 10 Disember lalu.

“Proton melabur dalam pemerolehan pengetahuan untuk kakitangan kami kerana kami percaya ia adalah cara terbaik untuk Syarikat bergerak ke hadapan. Pengalaman dan latihan yang mereka perolehi bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Syarikat tetapi secara tidak langsung, ia juga akan membantu meningkatkan tahap kemahiran industri automotif Malaysia apabila lebih ramai kakitangan dihantar untuk latihan. Ini adalah salah satu sebab Proton ditubuhkan, dan Syarikat berbangga kerana dapat memenuhi matlamat itu,” tambah Dr. Li.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required