Afeela – jenama EV kerjasama Honda dan Sony, prototaip didedahkan di CES, bakal dijual pada 2026

Afeela – jenama EV kerjasama Honda dan Sony, prototaip didedahkan di CES, bakal dijual pada 2026

Syarikat kerjasama Sony Honda Mobility (SHM) akhirnya mendedahkan jenama kenderaan elektrik penuh (EV) yang bakal dijual dalam pasaran – memperkenalkan, Afeela. Nama tersebut diumum ketika berlangsungnya acara tahunan CES yang diadakan di Las Vegas, serentak bersama pendedahan prototaip pertama Afeela.

Menurut laporan The Verge, CEO SHM Yasuhide Mizuno menyatakan bahawa kereta ini akan menggunakan kepakaran Sony terhadap teknologi kepintaran buatan (AI), realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) bagi menghasilkan model EV yang unik dalam pasaran.

“Afeela menggambarkan konsep kami tentang perhubungan interaktif di mana orang ramai dapat merasakan sensasi mobiliti interaktif dan di mana mobiliti boleh mengesan dan memahami orang dan masyarakat dengan menggunakan teknologi penderiaan dan AI,” kata Mizuno.

Afeela – jenama EV kerjasama Honda dan Sony, prototaip didedahkan di CES, bakal dijual pada 2026

Laporan itu turut menyebut bahawa EV dari Afeela akan dijual dengan harga kompetitif untuk berhadapan jenama-jenama premium seperti Mercedes-Benz, BMW, Volvo, dan Audi. Ia juga menambah Sony menjangkakan perisian yang ditawarkan nanti adalah menerusi servis langganan, jadi pemilik-pemilik Afeela mungkin perlu untuk membayar yuran bulanan bagi perincian-perincian tertentu.

Sebelum ini SHM telah mengumumkan bahawa kerjasama untuk menghasilkan EV ini adalah 50:50 antara Sony dan Honda, manakala produk pertama Afeela akan diproduksi di kilang Honda di Amerika Utara. Pra-tempahan akan dibuka sebelum berakhir 2025, dan pelanggan pertama untuk pasaran Amerika Syarikat akan menerima kereta mereka pada musim bunga 2026, diikuti pelanggan di Jepun pada separa kedua tahun yang sama.

Kereta ini mungkin akan dilengkapi dengan konsol permainan video Sony PS5 secara bina dalam, di mana SHM menyatakan bahawa ia adalah salah satu fungsi sistem hiburan untuk sebuah kereta yang berpaksikan hiburan. “Sony mempunyai kandungan, perkhidmatan dan teknologi hiburan yang menggerakkan orang ramai. Kami menyesuaikan aset ini kepada mobiliti, dan ini adalah kelebihan kami untuk berhadapan dengan Tesla, “kata presiden SHM, Izumi Kawanishi.

Kali pertama Sony menunjukkan minatnya untuk terjun ke industri automotif adalah pada CES 2020, di mana ia memperkenalkan model konsep Vision-S. Kereta tersebut dipadatkan dengan pelbagai kamera, skrin, kebolehan pemanduan autonomi, serta perkhidmatan penstriman untuk katalog multimedia Sony dan keupayaan untuk menyambungkan konsol permainan PlayStation.

Dua tahun kemudian, Sony sekali lagi mendedahkan model konsep yang dikenali sebagai Vision-S 02, iaitu SUV EV tujuh tempat duduk. Selepas pengenalan Vision-S 02 ini, model konsep sedan yang diperkenalkan sebelumnya dinamakan semula sebagai Vision-S 01.

Walaupun pada mulanya Sony menyatakan ia tidak berhasrat untuk menghasilkan kereta produksi sebenar, syarikat itu kemudiannya nampak begitu serius dalam menjalankan ujian jalan raya, dan kemudian ia mengumumkan ingin mencari rakan kerjasama bagi mengkomersilkan projek EV tersebut. Sony dan Honda mendatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun lalu bagi melahirkan SHM.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required