Ingat lagi Toyota Alphard yang sedang diubahsuai oleh pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun untuk menjadi trak pikap dalam laporan kami pada September tahun lalu? Pikap gergasi yang digelar sebagai Toyota Alphard Super Dually tersebut kini sudahpun siap dan ia telah dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2023 yang bermula hari ini!

Trak pikap ini sebenarnya diinspirasikan dari trak pikap low rider bersaiz penuh dari Amerika Syarikat seperti Ford F-350, dan sebab itulah ia diberi nama sebagai Alphard Super Dually.

Untuk menghasilkannnya, pelajar-pelajar kolej berkenaan telah memotong badan Alphard tersebut bermula pada bahagian belakang pintu gelangsar, bagi memberikan ruang kabin yang masih luas, dan memberikan rupa seakan badan “crew cab” pada Ford F-350. Ini juga membolehkan sistem suspensi belakang jenis bebas pada Alphard berkenaan masih boleh digunakan.

Badan MPV tersebut dipotong di atas sebuah jig, bagi memastikan bahagian belakangnya kekal tegak ketika disambung semula. Pelajar-pelajar NATS ini telah menghasilkan kerangka baharu bagi menjadikan ia sebahagian dari casis yang dipanjangkan.

Pelajar-pelajar NATS berkenaan mengambil bed dari Toyota Hilux bagi menghasilkan bed belakang Alphard berkenaan. Manakala untuk cermin kabin belakang, ia diubah dari pintu hatch yang diambil dari Toyota Probox. Lantai bed berkenaan dihasilkan dari kayu, manakala tangki untuk sistem suspensi udara sengaja didedahkan tanpa sebarang penutup, dan dihiasi kapas yang nampak seperti kabus.

Secara asasnya, Alphard memang lebih lebar dari Hilux. Jadi bed belakang tersebut turut diberikan fender belakang custom yang lebih lebar dan turut boleh memuatkan rim gergasi seakan rim berkembar pada trak pikap Dually Ford. Disebabkan tiada lagi rel untuk pintu belakang, pintu berkenaan tidak lagi dibuka secara gelangsar sebaliknya kini dibuka secara “suicide door”.

Perincian lain yang turut diberikan bagi membolehkan ia nampak seperti trak Amerika sebenar, ia turut diberikan lampu penanda pada bumbung dan juga cermin sisi bersaiz besar. Badan Alphard Super Dually ini disudahkan dengan semburan warna biru.

Dalam kabin, ia masih mengekalkan segala perincian asal Alphard termasuk papan pemuka, roda stereng, konsol terowong tengah, panel pintu, tempat duduk hadapan, malah tempat duduk kapten larasan berkuasa pada baris kedua juga masih ada.

Namun ada beberapa bahagian pada Alphard Super Dually ini masih kelihatan seperti ‘tak siap’. Antaranya panel di bahagian tempat duduk belakang dan juga bahagian cermin suku depan yang diubah kepada panel besi kedua-duanya masih belum diberikan sebarang balutan atau panel pelindung, dan juga pada kawasan corong pengisian petrol pada bed belakang yang dipotong dan dikimpal dengan tidak kemas.

Setiap kenderaan yang dibawa oleh pelajar NATS ke Tokyo Auto Salon ini merupakan projek akhir bagi mereka yang mengambil jurusan Customize di kolej berkenaan.

Untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). Bagi projek jurusan Customize seperti Alphard Super Dually ini, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.