Disebabkan lokasinya yang berhampiran dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Jalan Storey yang terletak di kawasan perumahan Kim Teng Park Johor Bahru menjadi tumpuan mereka yang bekerja di Singapura untuk meninggalkan kereta masing-masing di kawasan berkenaan sebelum bertolak ke seberang tambak menggunakan pengangkutan awam.
Masalah ini telah menyusahkan penduduk setempat termasuk peniaga-peniaga di kawasan berkenaan, lapor The Star. Menurut seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, dia terpaksa meletakkan tong sampah di petak parkir di hadapan kedainya bagi mengelakkan pekerja-pekerja Singapura berkenaan meninggalkan kereta mereka di situ dalam satu tempoh masa yang lama.
“Jika saya tidak membuat halangan di ruang tersebut, bagaimana roti, ais dan kenderaan lain mahu menurunkan dan menaikkan barang untuk kedai saya?” kata Ahmad.
Dia menyatakan bahawa walaupun halangan telah diletak, masih ada yang cuba mengalihkannya dan dia sering dilontarkan dengan soalan “ini jalan datuk awak ke?”. “Mereka mahu bekerja di negara membangun tetapi tinggalkan kami dengan mentaliti dunia ketiga,” tambah Ahmad lagi.
Manakala seorang pengurus restoran yang hanya dikenali dengan nama Subra, kereta-kereta berkenaan ditinggalkan dalam masa yang agak lama; ada yang sehari penuh dan ada lebih dari 10 hari. “Bayangkan mereka parkir di depan restoran. Mereka tak peduli kerana mereka mahu parkir secara percuma di sini,” kata Subra yang memaksanya untuk meletakkan kerusi plastik di hadapan restoran tersebut.
Bagi penduduk tempatan, mereka tidak kisah akan peniaga yang meletakkan halangan di tempat-tempat parkir tersebut kerana faham dengan situasi. Malah penduduk di kawasan perumah tersebut juga terganggu kerana terdapat kereta-kereta milik pekerja-pekerja Singapura berkenaan turut diletakkan di tepi jalan luar rumah mereka yang membahayakan pengguna jalan raya lain.
Presiden Persatuan Penduduk Kim Teng Park, Danial Lokman pula menyatakan bahawa sudah tiba masanya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil tindakan berhubung perkara ini. Lokman berpendapat bahawa pemilik-pemilik kereta yang menyalah gunakan kawasan tersebut sebagai tempat parkir jangka masa panjang perlu di saman dan kenderaan mereka perlu disita.
“MBJB mempunyai kuasa untuk menunda kereta-kereta ini.Mengapa mereka tidak menguatkuasakan undang-undang? Adakah mereka kekurangan tenaga kerja, trak tunda atau ruang simpanan? Bangunan Majlis Bandaraya tak sampai satu kilometer dari sini,” soal Danial.
Menurutnya lagi situasi ini bertambah buruk selepas pandemik, dan kini terdapat MPV yang datang ke kawasan berkenaan semata-mata untuk mengambil pemilik kenderaan yang meninggalkan kereta mereka di kawasan tersebut dan kemudian bertolak ke Singapura.
“Ada bayaran untuk membawa penumpang tapi mereka parkir di sini secara percuma,” kata Danial yang menggesa MBJB menguatkuasakan undang-undang bagi memberi pengajaran kepada pemilik-pemilik kenderaan tersebut.
Daniel turut menyatakan MBJB terlebih dahulu perlu melihat punca sebenar masalah ini sebelum menyaman pemilik-pemilik kedai yang meletakkan halangan di tempat parkir hadapan premis mereka.
“Mereka perlu mencari penyelesaian untuk masalah ini sebelum mengambil tindakan terhadap pemilik-pemilik kedai. Saya tak rasa pemilik-pemilik kedai ini akan meletakkan halangan sekiranya orang ramai tidak menyalahgunakan tempat parkir tersebut,” katanya lagi.
Menurut seorang penduduk di kawasan berkenaan, Wong Lee Fei, ada pemilik-pemilik kenderaan yang mengalihkan pasu bunga pemilik rumah bagi membolehkan mereka memarkir di tepi jalan. Wong yang sudah tinggal di Kim Teng Park selama 36 tahun berharap MBJB menunda kereta-kereta berkenaan bagi memberikan pengajaran kepada mereka.
Manakala seorang lagi penduduk, Vincent D’Silva, 60, mendakwa bahawa dia telah dua kali membuat aduan kepada pihak MBJB iaitu pada Jun tahun lalu dan Januari tahun ini, tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil.
“Saya penduduk di sini, tapi saya pun tak dapat tempat parkir. Semua tempat parkir sentiasa penuh, selalunya diambil oleh kereta yang sama.
“Parkir di tepi jalan disediakan untuk kemudahan penduduk bagi keluar bertugas. Bukan untuk orang luar menyalahgunakan fasiliti tersebut untuk sehari penuh,” katanya dan berpendapat MBJB perlu mengambil langkah jangka masa panjang bagi mengatasi masalah ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.