Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan saman terhadap sebuah kenderaan milik polis Kontinjen Johor selepas didapati meletak kenderaan di petak parkir motosikal di Kuala Kubu Bharu.
Beliau berkata, pihaknya mengesan perbuatan tersebut selepas ia dimuatnaik menerusi laman Facebook Kuala Kubu Bharu Resident dan didapati perkara berkenaan menyalahi peraturan lalu lintas, laporan Berita Harian.
“Hasil semakan yang dijalankan mendapati kenderaan berkenaan datang ke Kuala Kubu Bharu di atas urusan rasmi. Justeru, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor mengeluarkan saman trafik ke atas kenderaan itu di bawah kesalahan halangan lalu lintas mengikut Kaedah Lalu Lintas 16(1) LN 166/59,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang dilakukan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnyaa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.