Sempena dengan sambutan Thaipusam pada 5 Februari 2023, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan KTM Komuter tambahan akan disediakan selama tiga hari dua malam iaitu mulai 4 hingga 6 Februari.
Menurut Ketua Kawalan Operasi KTMB, Afzar Zakariya berkata, tren tambahan berkenaan akan bergerak tanpa henti 24 jam dan operasi KTM komuter itu melibatkan laluan Batu Caves- Sungai Gadut- Batu Caves dan Pelabuhan Klang-Batu Caves-Pelabuhan Klang dengan kekerapan perkhidmatan setiap satu jam.
“Perkhidmatan KTM Komuter tambahan ini akan bermula seawal 10 malam pada 4 Feb dari stesen Sungai Gadut ke stesen Batu Caves manakala tren tambahan pertama dari Pelabuhan Klang ke Batu Caves akan bermula seawal 11.43 malam pada hari yang sama.
“Sebanyak 24 stesen akan beropeasi selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut antaranya Seremban, Nilai, Kajang dan Klang. Bagaimanapun, tiada perkhidmatan tren tambahan ke dan dari laluan stesen Tanjung Malim-Batu Caves -Tanjung Malim,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Tambah beliau, KTMB menganggarkan seramai 182,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan komuter sepanjang tempoh tersebut dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak iaitu Ahad hadapan, 5 Februari 2023.
Justeru, beliau menasihatkan pengguna supaya membuat persediaan awal dengan mendapatkan kad Komuter Link lebih awal dari tarikh perjalanan atau menggunakan kad Touch ‘n Go dengan baki mencukupi bagi memastikan kelancaran perjalanan dan mengurangkan kesesakan di stesen.
“Pihak KTMB juga ingin mengingatkan semua pengguna yang bakal mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves diwajibkan memakai pelitup muka semasa berada di dalam tren seperti mana arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan pada masa ini,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.