Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 15,999 kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 19 yang dilaksanakan sempena Tahun Baharu Cina (TBC), sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 41% berbanding 11,325 kes pada tahun 2022.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain, kes kemalangan meningkat sebanyak 4,674 kes dengan 121 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh sama dengan melibatkan sebanyak 134 kematian berbanding 119 kematian pada tahun lalu laporan Harian Metro.
“Penunggang dan pembonceng motosikal kekal angka korban tertinggi iaitu 81 kematian sepanjang Op Selamat 19. Bagaimanapun, tiada kemalangan maut membabitkan 30 lokasi panas di Lebuhraya Utara-Selatan selain 234 ‘blackspot’ dikenal pasti di jalan raya seluruh negara,” katanya pada Majlis Penutup Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023 semalam.
Tambah beliau, untuk tempoh operasi yang sama, sebanyak 160,375 saman dikeluarkan di seluruh negara. Katanya, “Jumlah ini menurun berbanding tahun lalu iaitu 308,726 saman. Saman yang dikeluarkan adalah bersifat mendidik dengan memberi fokus enam kesalahan utama.”
Dalam majlis sama, Kontinjen Kuala Lumpur menerima Anugerah Kontinjen Terbaik, manakala Daerah Terbaik dimenangi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Selatan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.