Rancangan 10-tahun Proton dan Geely kini sudah memasuki separuh daripada perjalanannya dan menurut syarikat itu, segalanya berada di landasan yang betul. Perkara ini diberitahu bersama pembentangan hala tuju syarikat di Kuala Lumpur semalam.
Bagi separuh pertama rancangan ini, iaitu dari tahun 2018 hingga 2022, Proton berjaya mencatat beberapa pencapaian besar antaranya kembali menghasilkan keuntungan serta mencatat jualan tahunan melebihi 100,000.
Turut dianggap penting adalah beberapa langkah lain seperti peningkatan kepada model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga), penawaran teknologi canggih pada X70, pemasangan tempatan X70 serta naik taraf kepada kilang di Tanjung Malim.
Bergerak ke hadapan bagi rancangan tahun 2022-2027, Proton meletakkan sasaran untuk menjadi pendahulu dalam pasaran Malaysia dan sekurang-kurangnya berada di tempat ketiga teratas dalam ASEAN.
Untuk itu, syarikat akan terus kompetitif dalam segmen yang besar dan mampu milik, melancarkan model baru dengan teknologi canggih, menyertai solusi tenaga baru, perletakan penggerak baru pada model kenderaan Proton, serta memasukkan program pembangunan tempatan yang bergerak selari dengan hala tuju teknologi Geely.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.