Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan bas berhenti-henti dan perantara di Lembah Klang, telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melancarkan perjalanan perkhidmatan bas. Sokongan ini telah diaktifkan sejak petang semalam.
“Ini adalah hasil perbincangan dalam usaha membantu melancarkan perjalanan bas perantara yang menyokong perkhidmatan alternatif LRT Laluan Ampang, terutama sekali laluan di antara stesen LRT Hang Tuah dan stesen LRT Bandaraya. Sokongan yang diberikan termasuklah laluan bas khusus di waktu puncak.
“Selain itu, DBKL juga bersetuju untuk meletakkan kon-kon di laluan lorong paling kiri di Jalan Raja Laut untuk kegunaan bas perantara LRT. Malahan DBKL juga telah bersetuju untuk hanya membenarkan bas-bas kendalian Rapid KL untuk melalui jalan Tun Perak sekiranya jalan tersebut ditutup kepada lalulintas ketika waktu puncak,” jelas Rapid Bus dalam kenyataan yang dikongsikan.
Dalam waktu yang sama, DBKL menempatkan penguatkuasa di lampu isyarat Jalan Tun Perak dan Bulatan Dato’ Onn dengan sokongan anggota Polis Bantuan Prasarana di lokasi tersebut, serta
membenarkan pemasangan khemah-khemah di stesen-stesen LRT yang terjejas bagi kemudahan dan keselesaan para pengguna.
“Justeru, pihak Rapid Bus ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tambahan yang diberikan oleh pihak DBKL bagi kemudahan dan keselesaan pengguna yang terkesan akibat daripada gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.