Sehingga kini, laluan enam hingga lapan lorong Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka, dan hampir keseluruhan jajaran lebuhraya berkenaan di Johor hanya mempunyai empat lorong. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan pada waktu sibuk, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.
Oleh itu, Kementerian Kewangan (MOF) bakal mengadakan pertemuan bersama pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada minggu ini bagi membincangkan perkara tersebut, lapor Sinar Harian.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan perbincangan tersebut adalah berhubung penambahan lorong daripada empat kepada enam lorong lebuh raya berkenaan membabitkan laluan antara Yong Peng hingga Skudai, yang menjadi fokus kerajaan negeri terutama dalam mengatasi kesesakan, akibat pertambahan kenderaan.
“Ini juga adalah permintaan ramai rakyat berikutan kesesakan lalu lintas lebuh raya itu di antara Yong Peng-Skudai adalah masalah yang berlarutan sejak sekian lama.
“Kita lihat dari Melaka ke Seremban sudah ada enam lorong, manakala dari Seremban ke Kuala Lumpur sudah ada lapan lorong.
“Namun Johor cuma ada empat lorong sedangkan negeri itu memberikan sumbangan yang begitu besar kepada kekayaan dan pendapatan negara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Bangunan Sultan Ismail semalam.
Laporan Sinar Harian turut menyebut bahawa sebelum ini kerajaan Johor dilaporkan berulang kali memohon supaya laluan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Skudai dinaik taraf kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami sepanjang laluan 70 km tersebut.
“Pertemuan antara MOF dan PLUS itu bukanlah pengumuman berhubung pertambahan lorong di laluan lebuh raya di negeri ini akan bermula. Namun ia adalah perbincangan awal yang akan memberi pemberat kepada cadangan yang sekian lama dibuat Johor.
“Sekiranya tidak ada perbincangan lanjut, seolah-olah perkara itu akan berlalu begitu sahaja dan tidak ada sebarang pemberat kepada cadangan yang penting untuk merealisasikan permohonan Johor itu,” tambah Ahmad Maslan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.