Menteri Pangangkutan, Anthony Loke, telah mengumumkan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian dilaksanakan mulai hari ini, 10 Februari 2023.
Di mana pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis.
“Saya telah menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai mengenai pelekat lesen kenderaan motor (LKM atau lebih dikenali sebagai ‘cukai jalan’) dan saya menghayati kesulitan yang telah dibangkitkan. Pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi meringankan kesulitan orang ramai melalui strategi pendigitalan.
“Selaras dengan inisiatif ini, peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di mana “setiap LKM hendaklah dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan yang berkenaan” tidak lagi akan dikuatkuasakan bagi kategori pemilik di bawah fasa pertama. Pengecualian ini akan diwartakan di bawah kuasa yang diberi kepada Menteri Pengangkutan di bawah Seksyen 127 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang media pagi tadi.
Tambah beliau, inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal (warganegara), mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum peluasan pelaksanaannya ke fasa-fasa seterusnya.
“Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital. Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat.
“Untuk pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia, anda masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat/kertas LKM dan menggunakan kad fizikal LMM dalam tempoh interim,”tambah beliau.
Walau bagaimana pun, menurut beliau, dalam tempoh pelaksanaan fasa pertama ini, ada kategori pemilik atau pemegang lesen kenderaan yang masih wajib mempamerkan cukai jalan dan mengemukakan kad lesen memandu. Bagi cukai jalan, ia melibatkan cukai jalan kenderaan persendirian syarikat, kenderaan pemilikan warganegara asing serta kenderaan perdagangan meliputi kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam.
Manakala untuk lesen memandu pula, pemegang Lesen Belajar Memandu (LDL), pemegang Lesen Vokasional (PSV/GDL/KON), pemegang lesen memandu Malaysia bagi warganegara asing dan pemegang lesen memandu luar negara oleh warganegara asing (IDP).
“Saya ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana-mana pihak yang memandu kenderaan tanpa mempunyai LKM atau LMM yang sah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 20(1), 90 (1) dan 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kataya lagi.
Untuk itu, orang ramai digalakkan mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ [https://public.jpj.gov.my/] ataupun aplikasi mobile MyJPJ yang boleh dimuat turun dari App Store, Play Store ataupun Huawei App Gallery.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Kenapa pendaftaran mengatakan email bermasalah
Belum lengkap untuk smua pengguna (belom matang )