Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan orang ramai kini tidak perlu lagi melekatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau pun cukai jalan pada kenderaan persendirian. Memang ia memberikan ‘keterujaan’ pada rakyat namun ada juga yang mendesak agar kerajaan menghapuskan bayaran cukai jalan pula.
Loke memberikan respon berhubung perkara ini dan menyatakan ia (mengecualikan cukai jalan) tidak boleh dilakukan memandangkan itu adalah hasil diperoleh kerajaan yang akan digunakan semula untuk menfaat rakyat, laporan Berita Harian.
Katanya, kerajaan menerima hasil lebih RM2 bilion setiap tahun dari cukai jalan dan gesaan pengecualiannya hanya akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negara.
“Cukai jalan adalah satu hasil kepada kerajaan. Kalau kerajaan semua mahu kecualikan, tiada hasil, bagaimana kita mahu mentadbir negara. Mana-mana negara, kerajaannya mesti ada kutipan hasil.
“Cukai jalan adalah satu cukai penting dan utama (kepada kerajaan). Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hampir RM4 bilion lebih setiap tahun dan sebahagian besar adalah daripada cukai jalan. Cukai jalan saja kalau tak silap saya ada lebih RM2 bilion. Jadi kalau semua dikecualikan, hasil kerajaan akan berkurangan. Kalau berkurangan sudah tentu akan menjejaskan perjalanan pentadbiran negara,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan khususnya kementeriannya sentiasa berusaha sedaya mungkin untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi pendekatan dan tindakannya termasuk langkah pengecualian mempamerkan cukai jalan pada kenderaan.
“Mana yang kita boleh kurangkan kos, kita akan cuba lakukan. Mengapa kita buat pendigitalan (cukai jalan) ini, ia dapat mengurangkan kos rakyat. Mana-mana rakyat yang gunakan (syarikat) pihak ketiga untuk hantar cukai jalan, lepas ini ‘sticker’ itu tak perlu, jadi penghantaran (oleh pihak ketiga) pun tak perlu lagi. Jadi jimatlah beberapa ringgit dari kos penghantaran itu,” katanya.
Beliau turut menambah, langkah MOT untuk mengecualikan kenderaan mempamerkan cukai jalan bukan langkah mandatori atau wajib, sebaliknya ia pilihan untuk semua pengguna kenderaan. Di mana bagi mereka yang berdepan masalah akses kepada digital atau warga emas yang tidak mahir dengan pendigitalan, mereka masih boleh meneruskan penggunaan yang lama seperti biasa.
“Kita tak wajibkan. Kalau masih tak sesuai dengan pendigitalan, masih boleh dipakai (tampal cukai jalan pada kenderaan), teruskan. Saya hanya kata itu tak wajib, bukan mesti dikeluarkan dan mesti pakai digital. Kita hanya bagi opsyen, bagi pilihan kepada rakyat,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.