Sejak Kementerian Pengangkutan (MOT) memperkenalkan Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM atau digital roadtax) dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) yang dipaparkan melalui aplikasi MyJPJ dan Portal Awam JPJ mulai 10 Februari 2023, memang banyak respons pengguna yang diterima oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Rata-ratanya berhubung dengan masalah untuk mendapatkan TAC bagi mendaftar akaun baharu pada aplikasi berkenaan.
“Pandangan dan kritikan dari media sosial dan rakan-rakan media amat dihargai untuk membantu penambahbaikan dan pengukuhan user interface pada aplikasi MyJPJ dan portal awam JPJ. Selaras dengan perkembangan ini, JPJ telah melaksanakan beberapa langkah bagi menambahbaik ciri-ciri keselamatan dan mesra pengguna,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Langkah pertama ialah memperkenalkan sekuriti peringkat ketiga dengan menggunakan lapan aksara terakhir yang tertera di belakang lesen memandu untuk pendaftaran JPJeID secara dalam talian. Ini merupakan penambahan kepada dua peringkat sekuriti sedia ada iaitu “kata laluan” dan “kod TAC”.
Manakala langkah kedua pula ialah menambah fungsi bagi mendapatkan semula akaun pengguna melalui lapan aksara terakhir lesen memandu. Menurut JPJ, ini adalah penyelesaian kepada isu “telah mendaftar” disebabkan pengguna sebelum ini mempunyai akaun di portal rakan strategik JPJ yang berintegrasi dengan sistem JPJ.
Untuk langkah ketiga pula melibatkan penambahan fungsi ‘Penetapan Semula E-mel’ bagi pengguna yang terlupa e-mel yang digunakan atau perlu mengemaskini e-mel secara dalam talian dengan tambahan lapan aksara lesen memandu.
“Penambahbaikan ciri-ciri keselamatan ini dapat diakses oleh pengguna secara berperingkat mengikut sistem operasi telefon (Android, IOS dan Huawei) mulai 15 Februari 2023. Dalam hal ini, Kementerian Pengangkutan juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan aspek keselamatan siber Aplikasi MyJPJ terjamin,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.