Ford dilaporkan merancang untuk mengurangkan sejumlah 3,800 pekerjaan di benua Eropah, berbanding 3,200 pekerja yang diumumkan pada awal tahun ini. Keputusan ini dibuat bagi mengurangkan kos pengeluaran yang dikatakan kian meningkat. Malah Ford juga dikatakan perlu mengurangkan pengeluaran kereta janaan petrol dan diesel serta menumpukan perhatian terhadap produksi kenderaan elektrik (EV).
Menurut laporan Reuters, jumlah terbabit melibatkan 2,300 pekerja di kilang pengeluarannya di Cologne dan Aachen di Jerman serta 1,300 lagi di Britain.
Pengeluar kereta terbabit berkata, pengurangan pekerja kebanyakannya membabitkan jabatan pengeluaran dan pentadbiran di Cologne dalam tempoh tiga tahun akan datang. Buat masa ini, terdapat kira-kira 14,000 orang bekerja untuk Ford di Cologne dan lebih kurang 200 pekerja di pusat penyelidikannya di Aachen.
Pada tahun lalu, Ford telah menjual sebanyak 516,614 unit kenderaan penumpang di Eropah – meliputi 4.6% perkongsian pasaran, menurut Persatuan Automotif Eropah (ACEA). Berkenaan dengan EV, syarikat ini merancang untuk meningkatkan jualannya di benua berkenaan, dengan sasaran lebih 600,000 unit menjelang tahun 2026.
Ford turut mempunyai rancangan untuk memperkenalkan tujuh model EV menjelang tahun 2024 dan memperuntukkan sekitar $50 bilion untuk pengeluaran barisan elektrifikasi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.