Pembukaan stesen minyak khas yang menjual minyak tanpa subsidi di Perlis mungkin hanya memberi kesan kepada kenderaan luar yang berada berhampiran sempadan utara negara kita dengan Thailand, tetapi ia juga dapat menunjukkan kepada kita apa yang boleh dijangka apabila program subsidi bersasar dilaksanakan nanti. Untuk makluman anda, tanpa subsidi kerajaan, petrol RON95 dijual pada harga RM3.22 seliter di Malaysia.
Jika dibandingkan dengan harga bersubsidi sekarang, iaitu RM2.05 bagi RON95, harga itu adalah RM1.17 lebih tinggi. Ditukar pula kepada peratusan, ia bersamaan dengan 57% lebih tinggi berbanding harga yang kita bayar sekarang. Jadi, katakanlah dalam masa sebulan anda berbelanja RM300 untuk petrol, harga yang akan anda bayar tanpa subsidi adalah RM471 – lebih RM171.
Sudah tentu, ini cuma menggunakan contoh yang mudah dan buat masa ini, kita masih belum tahu bagaimana mekanisme subsidi minyak bersasar akan dilaksanakan dan lebih penting lagi, bila ia akan diguna pakai. Mereka yang berada di luar kategori sasaran ini pula bagaimana? Adakah mereka akan membayar harga penuh, atau masih akan mendapat subsidi tetapi dalam jumlah yang lebih sikit?
Cara penentuan siapa yang layak untuk subsidi minyak ini juga masih belum diketahui. Setakat ini apa yang diberitahu adalah kerajaan akan menggunakan data kapasiti kenderaan anda sebagai ukuran, tetapi cara kira-kira sebenarnya juga masih belum jelas.
Pada tahun 2018, kerajaan waktu itu mencadangkan had sehingga 1.3 liter – jika enjin kenderaan anda lebih besar, anda tidak akan mendapat subsidi. Selepas itu dalam Bajet 2019 ia ditingkatkan kepada 1.5 liter, dan kemudiannya dinaikkan sekali lagi kepada 1.6 liter. Kali terakhir dinyatakan, jika enjin anda lebih daripada 1.6 liter, tetapi berusia lebih 10 tahun, anda masih akan layak.
Untuk motosikal pula, had yang ditetapkan adalah 125 cc, dan kemudiannya dinaikkan kepada 150 cc. Untuk motosikal dengan enjin lebih besar, ia perlu berusia lebih tujuh tahun untuk layak menerima subsidi. Semua ini sepatutnya dilaksanakan pada Januari 2020, tetapi disebabkan oleh pandemik, PKP dan sudah tentu, pertukaran kerajaan, ia masih belum berlaku.
Setakat penghujung tahun 2022, menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberitahu bahawa selain kapasiti enjin mengikut data JPJ, kerajaan juga akan melihat kepada informasi berkaitan lain dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Khazanah Nasional dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk menentukan sama seseorang itu layak untuk mendapat subsidi atau tidak.
Sekali lagi, mekanisme sebenar untuk subsidi ini masih belum diketahui. Jika melihat kepada tahap pendapatan, adakah hanya golongan B40 sahaja yang layak? Jika ya, adakah had penentunya akan berbeza mengikut negeri? Bagaimana pula dengan minyak yang digunakan untuk syarikat atau perdagangan – adakah ia hanya bergantung sepenuhnya kepada individu yang mengisi minyak di stesen? Soalan yang ada sekarang memang tidak berpenghujung.
Buat masa sekarang, kita cuma dapat menjangka topik program subsidi minyak bersasar ini akan dibawa ke Bajet 2023, yang akan dibentangkan oleh menteri kewangan dan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu hadapan, 24 Februari. Adakah waktu itu semua soalan kita ini akan terjawab?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.
Soalan yang lebih penting adalah, “KENAPA harga minyak kita tidak serendah negara jiran, misalnya Brunei?”