Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh New Straits Times, perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa kerajaan membelanjakan sehingga RM1.6 juta untuk pajakan, penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan rasmi yang digunakan oleh menteri kabinet antara tahun 2020 hingga 2022.
Beliau turut mendedahkan bahawa semasa di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, kos operasi barisan kenderaan ini, yang diambil daripada syarikat pengurusannya, iaitu Spanco, berjumlah RM672,000, sementara pada tahun 2021 dan 2022 ia mencatat masing-masing RM478,991.50 dan RM450,690.66.
“Kos keseluruhan untuk menjaga dan membaiki kenderaan rasmi menteri kabinet ini adalah RM1,601,682.16,” kata Anwar dalam satu jawapan bertulis dalam Dewan Rakyat. Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Chong Zhemin (DAP-Kampar), yang bertanya tentang kos memelihara semua kenderaan rasmi menteri dari tahun 2020 hingga 2022.
Pada tahun 2020, menteri menggunakan Proton Perdana 2.4L Premium versi panjang sebagai kenderaan rasmi, dan kemudiannya diperbaharui dengan Toyota Vellfire 2.5L pada tahun 2021. Pada masa itu, kabinet Muhyiddin terdiri daripada 32 menteri dan 38 timbalan menteri.
Hujung tahun 2021, menteri kewangan waktu itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melaporkan bahawa jumlah pajakan bulanan untuk setiap Vellfire adalah RM5,759, dengan RM4,852 daripadanya adalah untuk bayaran sewa dan RM908 untuk penyelenggaraan.
Menjawab komen negatif semasa penukaran kepada Vellfire ini, Zafrul memberitahu bahawa sewa bulanan MPV itu adalah lebih rendah berbanding bayaran untuk Perdana 2.4L Premium, iaitu RM4,854.41 bagi setiap kenderaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.