Barisan model Chief keluaran Indian Motorcycles kini ditambah dengan satu lagi model yang dikenali sebagai Sport Chief. Ia dibangunkan untuk menjadi model Chief paling agresif berbanding yang lain, iaitu Chief, Chief Dark Horse, Chief Bobber, Chief Bobber Dark Horse, Super Chief dan Super Chief Limited.
Sentiasa minta untuk dibelasah, Sport Chief dinaik taraf dengan kelengkapan prestasi termasuk fork USD Kayaba di hadapan, brek cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo empat piston di hadapan serta dua penyerap hentak Fox Piggyback dengan jarak gerak 100 mm di belakang. Penggunaan suspensi ini juga membolehkan Sport Chief condong lebih banyak, sehingga 29.5 darjah berbanding model Chief biasa.
Membezakan Sport Chief berbanding model Chief lain adalah ia dipasang dengan Quarter Fairing gaya baru, serta pemegang jenis moto-style yang ditinggikan (riser) bersama dengan triple clamp CNC. Tempat duduk hanya ada satu sementara peletak kaki dan tuil kawalannya berada di tengah motosikal (tidak perlu melunjur ke hadapan).
Melengkapkan penampilannya adalah rim aluminium 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, dibalut dengan tayar Pirelli Night Dragon, tangki bahan api 15.1 liter, fender belakang jenis pendek, dua ekzos yang keluar di bahagian kanan, lampu LED serta sistem tanpa kunci.
Enjin Sport Chief ini adalah unit Thunderstroke 116 (1,890 cc) yang sama seperti Chief Dark Horse, dan ia mampu menghasilkan tork sehingga 162 Nm. Penunggang boleh memilih tiga mod tunggangan iaitu Sport, Standard dan Tour, sementara panel paparan pula menggunakan unit skrin sesentuh empat inci yang juga boleh disambungkan kepada telefon untuk memaparkan navigasi. Berat motosikal ini adalah 302 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.