Sedetik sahaja kita lalai dan tidak peka terhadap persekitaran semasa, situasi itu boleh mendatangkan kerugian atau malapetaka. Itulah yang terjadi kepada seorang pemandu di sebuah stesen minyak, yang mana rakaman dari kereta belakang dikongsi oleh pengguna di Twitter.
Kejadian didakwa berlaku di sebuah stesen minyak Shell di Jalan Cheras pagi semalam, menyaksikan seorang wanita pemandu Toyota Yaris di samun dalam cara yang paling mudah. Video berkenaan menunjukkan wanita berkenaan yang sudah selesai mengisi minyak keretanya sedang bergerak ke bahagian pemandu sambil melihat telefon di tangan.
Dalam masa yang sama, seorang lelaki lengkap dengan jaket dan helmet sudah cuba membuka pintu di sebelah penumpang, tetapi gagal kerana kereta masih berkunci. Namun, wanita berkenaan yang masih sibuk dengan telefon di tangan membuka kunci dari sebelah pemandu, dan tidak perasan langsung yang penyamun itu masih berada di sebelah penumpang dan terlebih dahulu membuka pintu kiri, tanpa disedari wanita terbabit.
Hati-hati
Kejadian samun di Shell Jalan Cheras pagi tadi.
Video : Chuan Wei Yiaw pic.twitter.com/ut7YG9gyVP
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) February 22, 2023
Aksi dalam video yang dirakam ini mencadangkan lelaki terbabit berjaya melarikan barang berharga yang diletak di kerusi penumpang kiri di depan — kemungkinan beg duit saiz kecil — sebelum berlari ke motosikalnya yang ada di depan. Selepas sedikit terlewat, barulah wanita tadi perasan yang penyamun telah melarikan barangannya, dan cuba mengejar.
Walaupun dapat menahan motosikal terbabit, wanita berkenaan malangnya terjatuh ke tanah, dan kelihatan seperti kepalanya juga terhantuk di permukaan jalan. Ini keadaan yang sangat bahaya, dan mungkin boleh dielak sekiranya kita memberi lebih perhatian terhadap persekitaran.
Terutama bagi yang kerap mengisi minyak seorang diri, perhatikan sekeliling, dan peka dengan pergerakan yang ada. Situasi terbuka seperti itu, tambahan di siang hari, memungkinkan orang-ramai yang ada datang memberikan bantuan sekiranya tindakan penyamun yang mencurigakan itu dapat dikesan awal.
Dan, jika barangan berharga sudah diambil, ada eloknya kita tidak mencuba menahan atau mendekati penyamun berkenaan seorang diri, dikhuatiri akan berlaku pula kecederaan atau kemalangan lain sekiranya mereka bertindak kasar. Menjerit dan minta bantuan merupakan pilihan terbaik dan selamat.
Semoga kejadian seperti ini dapat dielakkan, dan pemandu terutamanya wanita yang selalu bersendirian, perlu lebih peka dengan persekitaran.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.