Rapid KL telah mengumumkan waktu operasi bagi stesen LRT Bukit Jalil pada 4 Mac 2023 akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi (5 Mac). Malah stesen sambungan juga akan dibuka untuk membawa penumpang ke destinasi akhir mereka.
Walau pun Rapid KL tidak memaklumkan alasan untuk waktu operasi LRT ini dilanjutkan, namun difahamkan bahawa ada dua konsert mega bakal berlangsung jam 8 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil dan di Axiata Arena Bukit Jalil pada tarikh tersebut.
Di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia melibatkan kumpulan penyanyi wanita popular dari Korea Selatan iaitu Blackpink sempena konsert jelajah dunia mereka, ‘Born Pink’. Manakala di Axiata Arena Bukit Jalil pula bakal berlangsungnya konsert Malam Bulan Bintang yang dibarisi artis tempatan termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir.
Bagi yang merancang untuk menonton konsert berkenaan, memang pilihan yang tepat untuk menaiki LRT. Walau bagaimana pun, para penumpang diminta menggunakan kad Touch ‘n Go, dan memastikan baki kad anda mencukupi untuk kelancaran perjalanan. Dan pemakaian pelitup muka atau face mask masih diwajibkan bagi sistem pengangkutan awam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.