DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DRB-HICOM U) telah meraikan usaha tekun dan pencapaian pelajarnya dalam satu majlis konvokesyen yang berlangsung padaq 25-26 Februari lalu di Pekan, Pahang.
Majlis konvokesyen ke-7 sebanyak tiga sesi ini merupakan yang pertama kalinya diadakan secara fizikal selepas tidak dilaksanakan selama tiga tahun susulan pandemik COVID-19. Dalam majlis tersebut, DRB-HICOM U telah menganugerahkan PhD, ijazah sarjana dan sarjana muda, diploma, sijil profesional dan sijil kemahiran kepada sejumlah 1,076 graduan.
Disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Dato’ Sri Syed Faisal Albar yang menganugerahkan skrol kepada graduan pada sesi pertama. Manakala, Naib Canselor Prof. Dato’ Sr. Dr. Omar Osman
menganugerahkan skrol bagi sesi-sesi berikutnya.
Prof. Omar dalam ucapannya berkata, universiti ini turut menganugerahkan tujuh ijazah PhD buat pertama kalinya pada konvokesyen ini. Dalam masa yang sama, beliau menyeru graduan agar terus berusaha menimba ilmu kerana ini akan memberi peluang kepada mereka untuk mencapai aspirasi mereka.
“Insya-Allah, kita akan melihat lebih ramai graduan PhD dihasilkan oleh Universiti ini selaras dengan usaha Universiti dalam pelaksanaan jaringan penyelidikan antara pihak universiti, kerajaan dan swasta,” katanya.
Selain itu, pihak universiti turut menganugerahkan Hadiah Buku, Anugerah Khas, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Pengerusi dan Anugerah Canselor kepada 75 graduan tahun 2020, 2021 dan 2022.
Dalam ucapan daripada penerima Anugerah Pengerusi 2022, Abdullah Hakim Yunus menyeru rakan-rakan graduan untuk terus mengejar impian mereka, berkembang dan berusaha untuk mencapai kejayaan. Hakim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Mekatronik) dengan Kepujian dengan memperolehi PNGK 3.96.
Penerima Anugerah Canselor 2022, Aiza Syahira Azhar, yang kini merupakan kakitangan di DRB-HICOM U, menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam Pengurusan Rantaian Bekalan dengan PNGK3.96. Aiza turut mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah yang telah mengorbankan masa, tenaga dan buah fikiran dalam mendidik, membimbing dan menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Sehingga kini, 34 program akademik di DRB-HICOM U telah diberi akreditasi penuh dengan empat program baharu dijangka diiktiraf pada suku pertama 2023.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.