Penunggang motosikal yang tular beberapa hari lalu dengan melakukan provokasi terhadap pemandu sebuah kereta di Jalan Tabuan Tranquality, Kuching Sarawak kini sudah ditangkap.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun telah ditangkap di sebuah rumah di Kampung Beradek Ulu, Kuching pada 27 Februari 2023.
Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau melibatkan kes rompak dan samun, serta didapati positif dadah jenis metamphetamine. Suspek kemudiannya direman selama tiga hari untuk melengkapkan siasatan di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beberapa hari lalu tular satu video yang menunjukkan seorang penunggang motosikal melakukan provokasi terhadap pemandu sebuah kereta dengan menunggang secara melulu dan menunjukkan aksi lagak samseng sehingga menahan kereta tersebut sehingga berhenti. Penunggang motosikal Y15ZR itu juga didapati tidak memakai helmet.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.