Selepas melancarkan Toyota Prius generasi kelima di Jepun dengan dua penjana kuasa hibrid pada Januari lalu, pengeluar kereta negara matahari terbit ini memperkenalkan pula varian plug-in hybrid (PHEV) dalam barisan Prius. Ditawarkan pada harga 4.6 juta yen (RM150,758), Prius PHEV ini hanya ditawarkan dengan varian tunggal gred Z dan bakal memulakan jualan pada 15 Mac 2023.
Untuk makluman, Prius dengan Series Parallel Hybrid System (HEV) ciptaan Toyota didatangkan dengan versi 2.0 liter dan 1.8 liter. Bagi enjin 2.0 liter, ia menampilkan enjin M20A-FXS naturally-aspirated empat-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa hingga 152 PS (150 hp atau 112 kW) dan tork 188 Nm.
Ia ditambahkan dengan motor elektrik hadapan 1VM berkadar 113 PS (111 hp atau 83 kW) dan 206 Nm, yang menyumbang keseluruhan kuasa mencecah 196 PS (193 hp atau 144 kW). Dengan pilihan sistem pacuan semua-roda E-Four, motor elektrik kedua dengan 1WM pada kadar 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan 84 Nm turut diberikan, menambah jumlah keseluruhan kuasa menjadi 199 PS (196 hp atau 146 kW).
PHEV ini adalah lebih padu daripada hibrid standard hasil padanan motor elektrik 1VM yang menyalurkan 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 208 Nm. Ia dipadankan dengan unit M20A-FXS yang sama, tetapi dipertingkatkan sedikit dan mampu memberikan hamburan 151 PS (149 hp atau 111 kW) dan 188 Nm.
Hasilnya ia memberikan keseluruhan sistem kuasa sebanyak 223 PS (220 hp atau 164 kW), walau pun PHEV menawarkan pacuan roda-hadapan. Kesemua varian Prius didatangkan secara standard dengan electronically controlled continuously variable transmission (eCVT).
Bagi aspek pacuan elektrik, bateri Prius PHEV dengan kapasiti tenaga 13.6 kWh (51 Ah) bakal menawarkan jarak hingga 87 km dengan roda 19-inci, atau 105 km dengan roda 17-inci. Saiz roda turut memberikan kesan terhadap penggunaan bahan api, dengan set yang paling besar menawarkan 26 km/l, sementara 30.1 km/l dengan 17-inci. Dengan pengecas AC berkadar 200 voltans dan 16 amps (3.2 kW), pengecasan penuh mengambil masa sekitar 4.5 jam, menurut Toyota.
Prius PHEV ini juga dilengkapi dengan sistem pengecas solar yang dikatakan mampu menyalurkan kuasa yang mencukupi untuk dipandu sehingga 1,250 km setiap tahun. Kuasa elektrik dijanakan menerusi panel solar yang digunakan untuk mengecas bateri apabila kenderaan diparkir, dengan sistem tersebut bukan setakat membekalkan kuasa elekrik untuk pemanduan, bahkan juga untuk pendingin hawa dan fungsi lain. Sistem ini juga membekalkan sistem bateri bantuan sewaktu pemanduan untuk mengurangkan penggunaan bateri.
Manfaat lain bagi penjana kuasa plug-in hybrid ini termasuklah keupayaannya bertindak sebagai pembekal kuasa luaran, dengan menyalurkan sehingga 1,500 watt (1.5 kW) pada AC 100 voltan untuk aksesori. Bekalan kuasa elektrik luaran disediakan sebagai standard supaya ciri ini boleh digunakan dengan tingkap pintu ditutup untuk mengelakkan hujan dan serangga daripada masuk ke dalam kereta apabila digunakan.
Dengan harga 4.6 juta yen (RM150,758), Prius PHEV merupakan varian yang paling mahal untuk dijual. Varian Z dengan sistem hibrid 2.0 liter dan E-Four AWD pula dijual pada harga 3.92 juta yen (RM128,605). Manakala varian paling murah pula ialah gred G dengan sistem hibrid 2.0 liter yang sama dan 2WD berharga 3.2 juta yen (RM105,013).
Varian paling rendah bagi barisan Prius iaitu U yang didatangkan dengan sistem hibrid 1.8 liter, ditawarkan dengan perkhidmatan langganan Kinto kendalian Toyota sendiri, pada kadar 16,610 yen (RM545) sebulan untuk 2WD dan 18,480 yen (RM606) sebulan bagi E-Four AWD.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.