Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar eksklusif Ford di Malaysia, telah mengumumkan pembukaan pusat pengedar terbaharunya, Ford Kota Kinabalu (Penampang). Dikendalikan oleh wakil pengedarnya, Rightpower Corporation Sdn Bhd, pusat 3S Ford terbaharu ini yang terletak di tengah-tengah bandar Penampang, merupakan kemudahan Ford kedua di Kota Kinabalu, Sabah, dan yang kelapan di Malaysia Timur.
Ia dibuka dengan objektif untuk berkhidmat kepada pelanggan di salah satu daripada pusat bandar utama Kota Kinabalu, sambil menyokong pusat yang sedia ada di Inanam. Dengan pelaburan RM1 juta untuk kerja pengubahsuaian, Pusat 3S Ford baharu ini bakal memenuhi keperluan lengkap pelanggan, menawarkan khidmat jualan dan juga lepas jualan.
Pusat 3S ini meliputi kawasan seluas 12,000 kaki persegi, yang terdiri daripada bilik pameran seluas 4,300 kaki persegi dan pusat servis seluas 4,500 kaki persegi. Kemudahan ini memuatkan empat ruang servis dengan tenaga sepasukan 16 kakitangan yang terdiri daripada juruteknik bertauliah Ford dan juga kakitangan servis.
Turse Zuhair, Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion-Ford berkata, “Sabah merupakan pasaran yang sangat menarik dengan tahap permintaan tinggi bagi Ford Ranger generasi baharu. Dalam usaha berterusan mengukuhkan operasi kami di Kota Kinabalu, sukacita kami memperkenalkan Rightpower Corporation sebagai pengedar kedua kami dengan matlamat menambah bilangan pelanggan di daerah Penampang.”
Tambah beliau, “Pusat pengedar baharu ini membolehkan pelanggan menikmati pengalaman Ford
yang tersendiri dan kami akan menyediakan perkhidmatan bermutu tinggi menerusi kemudahan ini.”
Ford Kota Kinabalu (Penampang) ini terletak di Jalan Penampang Baru, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah. Ia beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin hingga Sabtu dan dari jam 9 pagi hingga 3 petang pada hari Ahad. Menurut SDAC, ini merupakan kemudahan yang ke-37 kendaliannya di seluruh negara.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.