Hari ini, Bermaz selaku pengedar rasmi jenama Mazda di Malaysia telah pun melancarkan unit pemasangan tempatan (CKD) bagi SUV CX-30 2023. Ia menjadi model ketiga Mazda yang dipasang di Malaysia selepas CX-5 dan CX-8 yang diproduksi di kilang Inokom, Kulim, Kedah. CX-30 2023 CKD ini telah pun mula dibuka tempahan sejak 16 Februari lalu.
Menawarkan empat varian yang bermula dengan model asas 2.0L 2WD yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM128,109, 2.0L 2WD High pula berharga RM136,109, 2.0L 2WD High+ berharga RM146,109 dan 2.0L 2WD High+ Premium berharga RM156,109.
Jika dilihat daripada tanda harganya, ia adalah jauh lebih rendah berbanding unit yang diimport sepenuhnya (CBU) sebelum ini. Salah satu penyebab penurunan harganya ialah model CKD yang dilengkapi bumbung suria hanya ditawarkan untuk varian tertinggi sahaja, sebaliknya ia diberikan secara standard untuk beberapa varian bagi model CBU.
Bagi versi CKD ini, CX-30 2023 hanya ditawarkan dengan enjin petrol sahaja, tidak diberikan pilihan penjana kuasa diesel seperti yang ada pada versi CBU. Bukan itu sahaja, versi CKD juga tidak ditawarkan dengan Ignite Edition dan juga varian AWD.
Untuk penjana kuasanya, ia diberikan enjin 2.0 liter SkyActiv-G dengan hamburan kuasa 162 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm, yang dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActive-Drive dengan mod manual yang memacu roda hadapan. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 196 km/j. SUV ini juga mempunyai tangki minyak berkapasiti 51 liter, dengan anggaran penggunaan sekitar 6.4 liter per 100 km.
Berbanding CX-5 yang tampil sebagai SUV sebenar, CX-30 lebih kepada compact crossover bagi Mazda 3 hatchback dengan tayar lebih besar dan suspensi lebih tinggi. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak antara roda 2,655 mm.
Untuk memudahkan anda bayangkan saiznya, dimensi bagi CX-3 adalah 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, bersama jarak roda 2,570 mm, manakala CX-5 pula adalah 4,550 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,675 mm tinggi bersama jarak roda 2,700 mm.
Bagi imej luarannya pula, tidak ada berbeza dengan model CBU. Ia masih mengekalkan bahasa rekaan Kodo. Namun untuk barisan CX-30 CKD ini, varian asas diberikan lampu utama LED automatik dan lampu nyalaan siang (DRL) jenis mentol. Tiga varian tertinggi pula menerima lampu utama LED automatik dengan pencahayaan signitur bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED. Kesemua varian juga menerima pengilap cermin hadapan automatik dengan pengesan hujan.
Manakala model asas 2.0L dipadankan dengan rim aloi 16-inci dengan tayar 215/65/R16, manakala tiga varian tertinggi lain diberikan rim aloi 18-inci dengan tayar 215/55/R18.
Ciri lain yang turut diberikan untuk semua varian termasuklah cermin sisi berkuasa bersama lampu isyarat membelok dan spoiler belakang. Walau bagaimana pun, hanya varian tertinggi sahaja yang diberikan bumbung suria, tidak seperti barisan CBU yang menerima ciri ini untuk semua variannya. Tiga varian tertinggi juga menerima ciri tambahan termasuk pintu tailgate berkuasa serta sensor parkir hadapan dan belakang.
Menjengah bahagian kabinnya, ia juga tidak jauh bezanya dengan versi CBU. Antara ciri yang diberikan untuk kesemua varian ialah sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, brek parkir elektronik, roda stereng balutan kulit dengan suis kawalan, fungsi bebas tangan Bluetooth, kawalan kelajuan, dan kluster instrumen pelbagai-info LCD berwarna tujuh-inci.
Selain itu, ciri standard lain termasuk suis pemilih mod pemanduan, tombol gear balutan kulit, punca kuasa 12-voltan dan pencahayaan dalaman. Varian asas hanya diberikan kawalan manual untuk pendingin hawa dan tempat duduk hadapan serta tempat duduk balutan fabrik.
Manakala tiga varian teratas menerima sistem kawalan suhu automatik dua-zon lengkap dengan corong dan kawalan berasingan di belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala dengan memori dan upholsteri kulit hitam.
Bagi sistem hiburan, kesemua varian diberikan sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin 8.8-inci, fungsi kawalan menggunakan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth serta boleh dikawal dengan suis Commander Control. Bunyi dari sistem tersebut disalurkan kepada lapan pembesar suara, dan skrin utama turut memaparkan imej dari kamera undur lengkap dengan garisan panduan. Untuk varian tertinggi pula diberikan kamera pemantau pandangan 360 darjah.
Bagi aspek keselamatan, CX-30 ini dilengkapi dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), brek dengan sistem ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan kunci pintu automatik dan amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk setiap tempat duduk dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Kesemua ciri tersebut adalah standard untuk kesemua varian.
Walau bagaimana pun, varian 2.0L High dan High+ diberikan Lampu Hadapan Adaptif sebagai ciri keselamatan tambahan. Dua varian tertinggi CX-30 ini turut diberikan Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Perhatian Pemandu, Brek Kecemasan Autonomous (AEB), Sistem Amaran Ketibaan Lorong, Sistem Bantuan Kekal Lorong, Sokongan Brek Pintar dan Kawalan Kelajuan Adaptif Radar Mazda (MRCC).
Varian 2.0L High+ juga diberikan Kawalan Lampu Tinggi, manakala High+ Premium menerima ciri tambahan Lampu Hadapan LED Adaptif, Sokongan Trafik dan kelajuan serta Amaran Lintasan Trafik Hadapan.
Barisan Mazda CX-30 ini ditawarkan dengan tujuh pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Polymetal Gray, Platinum Quartz, dan Jet Black. Setiap pembelian akan dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/100,000 km dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun/100,000 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.