Sejak beberapa minggu lalu, khabar angin bertiup mengatakan bahawa Naza Italia akan terlepas hak mengimport dan mengedarkan kenderaan Ferrari di Malaysia. Dan kini, perkara itu telah disahkan yang jenama itu akan diwakili di sini oleh syarikat pengedar baru dalam masa terdekat.
Daripada maklum balas oleh Ferrari Far East (FFE) berkaitan hal ini, syarikat itu mengeluarkan maklum balas berikut: “Ferrari S.p.A telah mengumumkan penamatan rakan niaga antara Ferrari S.p.A dan Naza Italia (Ferrari Malaysia) bermula 8 April 2023. Naza Italia akan terus memenuhi tanggungjawabnya kepada pelanggan untuk aktiviti jualan dan lepas jualan sehingga tarikh tersebut,” jelas jurucakap FFE dalam sebuah jawapan bertulis.
“Dalam tempoh peralihan ini, Ferrari S.p.A akan mengemukakan perhubungan bagi hal berkaitan jualan dan lepas jualan kepada semua pelanggan kami sehingga kami mengesahkan rakan niaga baru kelak,” jelas kenyataan itu.
“Tanpa membelakangi sumbangan yang telah dilakukan oleh Naza Italia terhadap kejayaan jenama ini di Malaysia, Ferrari menjelaskan yang keputusan ini mencerminkan keinginannya untuk memperbaharui perwakilan jenama tersebut untuk pasaran di sini. Ferrari komited terhadap Malaysia, dan akan terus memenuhi permintaan memberangsangkan dalam pasaran tempatan dan akan terus berhubung secara rapat dengan pelanggannya di sini,” ujar kenyataan yang sama.
Syarikat itu bagaimanapun tidak mengulas tentang pihak mana yang akan menjadi rakan niaga barunya di Malaysia selepas ini. Tetapi, senarai nama syarikat yang ura-ura akan dipilih sudah kedengaran: ini termasuklah dua syarikat Malaysia yang mempunyai hubungan tidak langsung dengan Ferrari, walaupun bukan sebagai pengedar, dan bukan di Malaysia — Sime Darby di Australia, dan Berjaya, melalui cabang runcit automotif H.R. Owen di UK.
Syarikat kedua ini disebut-sebut sebagai calon paling sesuai, dengan sebuah lagi syarikat yang turut disebut ialah Ital Auto, yang telah menjadi pengimport Ferrari di Singapura sejak 2009. Ital merupakan sebahagian daripada kumpulan francais Komoco yang dimiliki oleh bilionair Malaysia yang berpusat di Singapura, Ong Beng Seng. Selain Ferrari, Komoco turut mengendalikan jenama automotif lain seperti Hyundai dan Maserati di sana.
Dalam perkembangan berasingan, Naza yang telah menjadi pengedar Ferrari di Malaysia sejak 2008 akan terus bertindak mewakili jenama Maserati di sini. Selain Maserati, Naza turut mengendalikan jenama automotif Ducati (Next Bikes) dan Suzuki (Naza Eastern Motors) ketika ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.