Jangan keliru dengan Toyota Yaris. Sebelum ini Yaris adalah versi sedan untuk Vios, seperti yang kita kenali di sini. Tetapi, dengan Vios generasi keempat yang dilacarkan semalam, ia telah “berpisah” daripada Yaris yang kita ketahui ini — Vios baru berkenaan dan Yaris Ativ menggunakan platform DNGA, sementara Yaris hatchback kekal dengan facelift sekali lagi.
Facelift ketiga bagi kereta dalam segmen B ini menampilkan rekaan wajah depan yang nampak lebih lebar di bahagian bawah grilnya. Rekaan projektor lampunya juga baru dan berbeza, dengan rekaan bampar dan jalur DRL LED yang memberikan kesegaran lain. Namun, tidak ada apa yang berbeza dengan lampu belakang — dengan hiasan menegak di hujungnya. Warna baru, Cement Gray Metallic juga diperkenalkan, dengan pilihan bumbung hitam.
Tidak banyak perubahan untuk papan pemuka, yang menerima head unit dengan skrin sentuh 9.0-inci untuk varian Premium dan Premium S. Skrin 8-inci untuk varian Smart, sementara Sport yang paling asas menerima skrin 7-inci. Semua kecuali varian paling asas akan menerima ciri Android Auto dan Apple CarPlay. Kerusi hadir dengan rekaan baru, peningkatan tahap kemasan dan slot USB-C tetapi masih tiada panel meter digital seperti untuk Vios DNGA.
Enjin kekal sama, unit 1.2 liter empat-silinder yang menjana 92 PS dan 109 Nm tork. Enjin 3NR-FKE NA ini digandingkan dengan kotak gear CVT dengan kadar penggunaan minyak didakwa 23.3 km/l. Ciri keselamatan juga sama — varian paling tinggi lengkap dengan AEB, amaran penukaran lorong, RCTA dan peninjau titik buta. Tiada kawalan melayar adaptif.
Di Thailand, Yaris Sport paling asas dijual pada harga 559,000 baht (RM73,020), diikuti Smart dengan 619,000 baht (RM80,863), Premium dengan 679,000 baht (RM88,701) dan yang paling lengkap,Premium S at 694,000 baht (RM90,656). Berbanding versi facelift 2020, harganya naik sekitar 10,000 hingga 15,000 baht (RM1,306 hingga RM1,959). Pakej penggayaan Lusso, Chiaro dan Presto juga ada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.