Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, mengesahkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi menentukan kaedah untuk mengaplikasikan sistem pembayaran terbuka, termasuk untuk kemudahan pengangkutan awam.
Menurut beliau, mesyuarat itu susulan cadangan dikemukakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagi memberi rakyat lebih banyak pilihan, selain menggunakan sistem pembayaran sedia ada seperti Touch n Go (TnG), laporan Berita Harian.
“Ketika di Parlimen, saya berbincang dengan Menteri Pengangkutan kerana beliau mengemukakan idea untuk ada sistem lain selain TnG untuk rakyat mudah bayar parkir, di lebuh raya dan seumpamanya. Jadi, hasil perbincangan itu, kami akan ada mesyuarat dengan pihak Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya kepada pihak pemberita pagi tadi.
Semalam, media melaporkan, MOT sudah mengarahkan semua agensi termasuk operator pengangkutan awam di bawah kementerian untuk mengaplikasikan satu sistem pembayaran terbuka.
Menurut Menteri MOT, Anthony Loke, buat masa ini, tempoh beberapa bulan diperlukan untuk mengintegrasikan sistem pembayaran terbuka itu.
“Umpamanya kalau guna LRT, sekarang ini hanya dua pilihan iaitu pergi ke mesin layan diri dan beli token atau TnG. Jadi kita nak aplikasikan satu sistem pembayaran terbuka yang mana selain TnG, apa juga jenis kad, sama ada kad kredit atau debit, boleh sentuh dan masuk.
“Sistem ini akan kita mulakan tidak lama lagi untuk pengangkutan awam khususnya di bawah Prasarana untuk bas, LRT, MRT, begitu juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sudah diarahkan untuk buat sistem sama,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menyemak semula monopoli yang dimiliki oleh TnG di Malaysia. Perkara ini didedahkan dalam sesi soal jawab program Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), apabila beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh salah seorang peserta mengenai perkara tersebut.
Menerusi sesi berkenaan, peserta tersebut bertanya adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menamatkan monopoli TnG dalam sistem pembayaran untuk sistem pengangkutan dan jalan raya di Malaysia. Dia menambah bahawa kad debit dan kredit boleh digunakan di banyak tempat seperti stesen minyak dan tempat letak kereta, tetapi TnG hanya menjadi satu-satunya pilihan pembayaran tanpa sentuh untuk pembayaran tol dan pengangkutan awam.
“Anda lihat, Touch ‘n Go telah beroperasi lebih daripada dua dekad dan dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu. Saya rasa anda betul, kita akan mempertimbangkannya semula,” jawab Anwar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.