Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

Jun tahun lalu, firma kejuruteraan British, Prodrive (yang bertanggungjawab mengendalikan Subaru World Rally Team) telah mendedahkan Prodrive P25 – model restomod Subaru Impreza WRX GC8 yang kelihatan seperti model edisi terhad 22B/jentera rali Impreza WRCar 1997.

Ia kemudiannya membuat kemunculan sulung dikhalayak ramai pada Goodwood Festival of Speed 2022, di mana kesemua 25-unit yang dirancang untuk diproduksi habis dijual dalam masa yang singkat. Ketika itu Prodrive mengumumkan bahawa versi asas P25 ini dijual pada harga £460,000 (RM2.48 juta) tidak termasuk cukai.

Dari 25-unit yang dihasilkan tersebut, sekurang-kurangnya sebuah sudah sampai ke ASEAN dan ia kini dipamerkan di Bangkok International Motorshow 2023! Unit ini dibawa oleh pengedar kereta mewah dan eksotik di Thailand iaitu Target Car Center, dan dijual pada harga 55 juta baht, atau sekitar RM7 juta!

Prodrive menghasilkan P25 ini berasaskan kerangka Impreza WRX GC8 Coupe (dua-pintu), kemudian diberikan perincian yang hampir kepada jentera WRC sebenar dengan bonet hadapan, bumbung, penutup but belakang, cermin sisi, bampar hadapan dan belakang serta keempat-empat fender yang lebih lebar dari WRX GC8 standard – kesemuanya diperbuat dari material komposit karbon.

Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

Unit yang dibawa ke Bangkok ini nampaknya hadir dengan perincian opsyen iaitu bampar hadapan dengan liang udara lebih besar (tiada bahagian spotlight pada setiap sisi, liang bonet enjin yang hanya menampilkan gril dan menerima bingkai gentian karbon untuk aliran udara lebih baik, lampu hadapan projektor dengan latar belakang hitam, serta serlahan karbon tanpa cat pada bumbung, cermin sisi dan sayap atas spoiler belakang.

Walaupun dengan kerangka lama, P25 ini menerima pelbagai teknologi terkini termasuk unit rangkaian kuasa. Ia menerima enjin EJ25 2.5 liter dalam versi paling terkini diproduksi oleh Subaru (dengan sistem injap bervariasi dan sebagainya) kemudian dirombak semula oleh Prodrive bagi mengekstrak lebih kuasa.

Enjin tersebut menerima komponen dalaman termasuk pelapik silinder (cylinder liners), omboh, rod penyambung (con rod) serta rangkaian injap yang kesemuanya binaan khas dari Prodrive. Ia kemudiannya menerima sistem turbo untuk sukan permotoran dari Garret lengkap dengan sistem anti-lag seperti kereta rali sebenar, bersama intercooler dan kotak kemasukan udara berprestasi tinggi, serta sistem ekzos perlumbaan titanium dan logam tahan karat dari Akrapovic yang turut menampilkan injap by-pass penyenyap.

Secara keseluruhan, enjin baharu tersebut mampu menghasilkan kuasa 400 hp dan tork maksima 600 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan (separa automatik, gear helix) bersama pedal penukar gear, dengan kuasa dipindahkan menerusi set klac lapisan berkembar dari AP Racing.

Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

Untuk sistem pacuan empat roda, gandar hadapan dan belakang menerima set LSD, bersama LSD tengah aktif dan boleh dilaras bagi memberikan agihan tork tepat antara roda hadapan dan belakang. Selain anti-lag, jentera rali jalan raya ini turut menerima sistem launch control gaya-WRC sebenar, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat.

Dengan sistem launch control tersebut, pemandu hanya perlu menekan pedal pendikit ketika kereta berkenaan ‘berlepas’, dengan sistem fly-by-wire pada pedal pendikit dan dan pedal klac pada set pedal box serta kotak gear akan memberikan tukaran gear 1-2-3 secara automatik bagi memberikan pecutan paling optimal.

Menurut Prodrive, P25 ini juga diberikan pelbagai komponen ringan lain termasuk bateri lithium-ion. Secara keseluruhan, model jelmaan semula 22B ini ditimbang tidak sampai 1,200 kg.

Konfigurasi suspensi asal topang McPherson pada GC8 masih dikekalkan pada P25, namun Prodrive telah merombak semula rekaannya dengan komponen yang diperbuat dari aluminium membolehkan geometri camber dan toe dilaras dan dioptimakan, bersama dengan trek roda selebar 1,770 mm.

Prodrive turut memadankan penyerap hentak boleh laras dari Bilstein. Manakala spring dan bar anti-oleng yang dipadankan adalah ditala untuk mendapatkan pengendalian optima di atas permukaan tar – pemilik boleh menukar kedua-dua komponen tersebut mengikut keperluan pemanduan lain.

P25 ini dilengkapkan dengan set roda yang terdiri dari set rim yang dihasilkan oleh Prodrive sendiri dengan saiz 19-inci dan lebar 8.5 jj, dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza 235/35/R19 yang didakwa menepati talaan pada penyerap hentak.

Manakala untuk brek, P25 menerima set lengkap dari AP Racing menampilkan cakera berliang 380 mm dan angkup enam-omboh di hadapan serta cakera berliang 350 mm dan angkup empat-omboh di belakang. Pembeli turut ditawarkan dengan pelbagai jenis pad brek untuk sistem ini mengikut kesesuaian masing-masing.

Untuk kabin, P25 masih mengekalkan papan pemuka asal GC8, tetapi diberikan pelbagai kemasan dan perapi dari material lebih moden serta perincian yang hampir dengan kereta rali sebenar. Ia diberikan upholsteri dengan kombinasi kulit dan alcantara, bersama pelbagai kemasan dari gentian karbon.

Bangkok 2023: Prodrive P25 – jentera jelmaan semula Subaru 22B/WRCar 97 RM7 juta dijual di Thailand!

Unit yang dibawa ke Bangkok ini turut menerima opsyen sepasang tempat duduk perlumbaan pada bahagian hadapan, tempat duduk belakang di cabut dan diberikan separa roll cage, serta panel sebelah dalam pintu yang diperbuat dari gentian karbon.

Panel meter analog Impreza tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan paparan instrumen digital berdefinasi tinggi dari Motec yang turut menampilkan fungsi data-logger seperti kereta lumba sebenar. Jadi untuk pemanduan litar, pemandu boleh membuat tetapan semula untuk respon pendikit, pemetaan prestasi enjin serta larasan untuk sistem anti-lag.

Malah ia juga dilengkapi dengan brek tangan ‘fly-off’ gaya WRC sebenar, yang bukan sahaja dapat mengunci dengan mudah cakera brek belakang, malah turut akan memutuskan alihan kuasa ke gandar belakang bagi memudahkan aksi ‘handbrake turn’ pada selekoh tajam dan sempit atau memulakan aksi drift. Manakala untuk memastikan kereta ini tidak bergerak ketika diparkir, ia dilengkapi dengan brek parkir elektrik secara standard.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required