Satu video telah dimuat naik oleh seorang pengguna laman sosial di Malaysia Automotive Shitposting Group memaparkan video seorang pemandu Mitsubishi Lancer Evolution IX wagon yang mengamuk di Plaza Tol Damansara, Lebuhraya ELite. Menurut kapsyen yang diberikan, video rakaman dashcam berkenaan dimajukan kepadanya untuk ditularkan.
Dalam video tersebut dapat dilihat kejadian ini berlaku sekitar pukul 7 petang pada 26 Mac iaitu semalam. Evo berkenaan tiba-tiba memotong dan terus mencelah ke hadapan kenderaan pemilik dashcam sebelum tiba di plaza tol. Pemilik dashcam kemudian dilihat cuba melarikan diri ke lorong Touch N’ Go paling hujung plaza tol terbabit, namun Evo berkenaan sekali lagi memintasnya dan membuat halangan betul-betul di plaza tol.
Evo tersebut berhenti agak lama di plaza tol berkenaan seolah-olah menunggu agar pemilik dashcam turun dari kenderaannya. Tetapi sekali lagi pemilik dashcam cuba melarikan dengan mengundur dan beralih ke lorong tol lain. Dan sekali lagi Evo berkenaan berjaya menghalangnya dengan memarkir secara melintang di hadapan plaza tol.
Posted by 芯蕊王 on Sunday, 26 March 2023
Kali ini pemilik Evo berkenaan turut dari kereta dan menuju ke kenderaan pemilik dashcam untuk memberikan amaran. Walau bagaimanapun, suara dari dashcam berkenaan didiamkan dan segala perbualan antara kedua-dua individu terlibat tidak kedengaran. Tiada sebarang insiden melibatkan sentuhan berlaku dan Evo berkenaan dilihat beredar selepas itu.
Menerusi hantaran yang sama turut disertakan mesej aplikasi whatsapp dari pemilik dashcam berkenaan. Menurutnya, inisiden ini berlaku ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, dan Evo berkenaan dipandu secara merbahaya sebelum pemandunya melakukan provokasi terhadapnya.
Apa pun ini hanya cerita dari pemilik dashcam, dan tiada video sebenar memaparkan apa yang menyebabkan pemandu Evo wagon berkenaan tiba-tiba naik angin. Sekiranya pemilik video berkenaan membuat laporan polis, tentu ada kenyataan dari PDRM dikeluarkan selepas ini. Sama-sama kita nantikan perkembangannya nanti.
Namun sebaik-baiknya, kita bertolak ansurlah di atas jalan raya. Kalau bergaduh pun selalunya tak selesaikan masalah, jadi lagi sulit lagi ada kalau dah jadi kes polis kan?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.