PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa terdapat penutupan lorong pada waktu malam secara berperingkat di antara KM10.5 hingga KM11.3 laluan Shah Alam-Subang dan KM11.7 hingga KM11.1 laluan Subang-Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) mulai 30 Mac 2023.
Penutupan lorong tersebut adalah bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Jambatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang merentangi NKVE di KM11.25 di antara Persimpangan Shah Alam dan Subang.
“Kerja naik taraf yang akan dilaksanakan secara berperingkat selama tujuh bulan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal November 2023. Ia akan dijalankan pada waktu malam bermula jam 10 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh tersebut.
“Ia akan melibatkan penutupan lorong pada waktu malam secara berperingkat di antara KM10.5 hingga KM11.3 laluan Shah Alam-Subang dan KM11.7 hingga KM11.1 laluan Subang-Shah Alam. Semua lorong akan dibuka semula kepada pengguna lebuh raya mulai jam 5 pagi bagi memastikan tiada gangguan terhadap aliran trafik terutamanya pada waktu-waktu puncak,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Justeru, pengguna lebuh raya terbabit dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh tersebut. Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.
Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.