Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengesahkan buat masa ini kerajaan Malaysia tiada rancangan untuk menaikkan kadar bayaran permit masuk kenderaan (VEP) kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Johor.
Katanya lagi, langkah menaikkan kadar VEP hanya akan menyebabkan tindak balas kerajaan Singapura yang akan turut menaikkan kadar bayaran kepada kenderaan Malaysia yang memasuki republik itu. Di mana kadar VEP akan terus dikekalkan RM20 bagi setiap kenderaan berdaftar di Singapura ketika melalui Tambak Johor serta Lebuhraya Hubungan Kedua (SecondLink), Gelang Patah, laporan Harian Metro.
“Setakat ini, kerajaan tiada rancangan untuk menaikkan kadar VEP. Jika kita berbuat demikian, pasti ada tindak balas (kenaikan harga) dari Singapura juga. Sekiranya kita tingkatkan kadar bayaran itu (VEP) untuk kenderaan Singapura, maka kerajaan Singapura pun akan mengenakan cukai jalan yang lebih tinggi untuk kenderaan Malaysia yang masuk ke Singapura.
“Pada masa sama, kita juga hendak menggalakkan kemasukan pelancong dari Singapura ke negeri ini supaya dapat menyumbang kepada ekonomi di Johor. Walaupun ada cadangan daripada wakil rakyat (naikkan VEP), tetapi setakat ini, kerajaan tidak ada perancangan untuk meningkatkan kadar itu,” katanya.
Beliau mengeluarkan kenyataan terbabit bagi mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad agar kerajaan menaikkan kadar VEP khusus bagi kenderaan Singapura yang mahu memasuki negara ini melalui pintu sempadan antarabangsa di negeri ini.
Menurut Pandak Ahmad, kenaikan bayaran VEP itu dilihat wajar memandangnya kadar ketika ini amat rendah jika dibandingkan dengan tukaran mata wang negara jiran berkenaan. Di mana beliau mencadangkan kadar bayaran VEP dinaikkan kepada RM40 atau RM50 bagi setiap kenderaan, jika tidak dapat dibuat pada hari biasa, mungkin boleh dilaksana pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Daripada kutipan bayaran VEP sebanyak RM20 yang dikenakan terhadap kenderaan asing itu, RM15 akan dikutip oleh Kerajaan Persekutuan manakala bakinya RM5 disumbangkan kepada kerajaan negeri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.