Kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan mengenai cadangan pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dianggarkan dengan kos RM50.2 bilion bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, kerajaan meminta anggaran kos itu diturunkan lagi, laporan Berita Harian.
“Ada pandangan ia boleh diturunkan sehingga RM45 bilion, kita tunggu cadangan mengenainya. Jarak MRT3 adalah 50.8 kilometer supaya dapat melengkapkan lingkaran (rel) itu. Jika tidak buat MRT3, kita tidak dapat melaksanakan keseluruhan perjalanan itu,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 di Dewan Rakyat semalam.
Tambahnya, kerajaan juga akan melaksanakan kajian menyeluruh keberkesanan pelaksanaan projek MRT3 berbanding Transit Aliran Bas (BRT), dengan mengambil kira kesesuaian tempat, kadar trafik dan kos keseluruhan.
“Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mengenai sama ada Kementerian Kewangan akan membuat kajian perbandingan impak antara MRT3 dan BRT, mengambil kira faktor penggunaan perkhidmatan dan kos.
MRT3 Laluan Lingkaran dmerupakan bahagian terakhir yang penting bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur, dengan jajaran yang melalui sepanjang perimeter bandar raya. Ia akan mengelilingi Kuala Lumpur melalui kawasan berkepadatan tinggi, termasuk Setiawangsa, Titiwangsa, Mont Kiara, Pantai Dalam dan Pandan Indah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.