GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

Mazda MX-30 direka dan ditawarkan sebagai sebuah crossover elektrik untuk kegunaan harian di dalam bandar. Kenapa begini? Mudah, melihat kepada jarak 199 km yang disediakan untuk satu cas penuhnya, kita tahu kepenggunaannya bagaimana: tentulah dengan jarak seperti itu, ia agak leceh untuk dipandu bagi tujuan perjalanan jauh, kerana perancangan perlu ada berkaitan di mana harus mengecas semula kenderaan ketika dalam perjalanan.

Tetapi, untuk kegunaan tugas seharian, jarak itu sebaliknya menjadi sangat banyak. Tambahan pula, sekiranya mengambil kira semua pengecasan akan dilakukan di rumah pada sebelah malam, kereta ini bahkan akan membuatkan anda tidak perlu lagi berfikir untuk ke pam minyak, apatah lagi perancangan untuk ke stesen pengecasan EV. Semuanya lebih mudah jika itulah situasinya.

GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

Maka, dalam latar penggunaan seharian ini, Mazda MX-30 ada banyak yang ingin ditawarkan, dan mungkin juga menjadi satu-satunya model dengan ciri seperti itu dalam segmennya. Yang dimaksdukan antaranya ialah kereta ini tiada tiang B di tengah, dan bukan pintu pula sangat unik — kita pernah tengok rekaan begini misalnya untuk model kereta sport Mazda RX-8, dan sekarang dipindahkan untuk model EV ini pula.

Yang anda lihat ini ialah versi EV High yang paling tinggi, dengan penawaran keduanya pula EV Mid. Melihat harganya, mungkin ramai yang akan berkata itu terlalu mahal — varian High dijual pada harga RM198,780. Ini memang betul. Tetapi, bila anda meluangkan masa untuk mendekati model ini dari dekat, memerhatikan segala kelebihan dan kekurangannya itu, maka boleh difahami kenapa tanda harganya agak tinggi.

GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

Setakat ini, Mazda MX-30 menjadi model di mana syarikat itu melambakkan segala macam ciri dan kelengkapan terbaik dan termaju, sekurang-kurangnya dalam konteks pasaran tempatan kita. Duduk dalam ruang kabinnya, dan cuba sentuh dan rasa sendiri kualiti material dan rekaan yang diberikan untuk model ini. Kebanyakannya semua memberi rasa premium yang berbeza berbanding model Mazda yang lain. Material kitar semula, balutan kulit yang digunakan serta banyak lagi yang berada di tahap yang cukup teliti.

Dalam kabin, ada sistem infotainmen dengan skrin sentuh 8.8-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay) berserta paparan skrin sentuh tujuh-inci untuk kawalan suhu — ciri yang pertama kali ditawarkan oleh jenama ini. Manakala skrin ketiga pula merupakan paparan multi-info TFT LCD tujuh-inci yang terletak di hadapan pemandu. Selain itu, MX-30 turut diberikan kawalan pendingin dwi-zon, brek parkir elektronik, pencahayaan dalaman LED, pedal penukar gear, paparan utama yang dipantul ke cermin hadapan serta stereng dan tombol gear balutan kulit.

GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

Di luar, antara kelengkapan standard yang ada termasuklah lampu utama LED, DRL LED, lampu kombinasi LED Signature di belakang serta lampu kabus dan lampu undur LED. Turut disediakan ialah sensor pengilap cermin dan sistem tanpa kunci, serta empat sensor parkir di depan dan enam di belakang. Kedua-dua varian menggunakan rim 18-inci dengan tayar 215/55.

Bila anda duduk memandunya pula, pengalaman yang lebih menarik dapat dirasai. Ia tidak langsung memberi “diskaun” terhadap aspek berkenaan. Jika kereta Mazda yang lain sebelum ini sangat memberi tumpuan kepada nikmat pemanduan, perkara itu tetap dapat dirasakan untuk model elektrik ini.

GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

Sedikit maklumat mekanikal berkaitan MX-30 ini: kuasanya dibekalkan dari bateri lithium-ion 355-voltan yang diletakkan di bahagian lantai dengan kapasiti tenaga mencecah 35.5 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak hingga 199 km dalam pengecasan tunggal mengikut standard kitaran ujian NEDC.

Kuasa berkenaan disalurkan pula ke motor elektrik di depan dengan janaan sebanyak 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan tork 271 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dalam 9.7 saat serta kelajuan maksimum cecah 140 km/j. Untuk pengecasan, MX-30 menerima input AC (Type 2) pada kadar 6.6 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar lima jam jika menggunakan wallbox.

GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

Jika menggunakan pengecasan biasa pada kadar maksimum 3 kW, ia mengambil masa sekitar 12 jam untuk pengecasan penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

Sistem keselamatannya juga lengkap dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control dan ISOFIX. Bagi sistem bantuan pemandu, kereta ini dilengkapi dengan i-Activesense yang terdiri daripada AEB, fungsi Start/Go dengan kawalan melayar adaptif Mazda, penggera perhatian pemandu, peninjau titik buta, penggera lintasan trafik di belakang, sistem bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong — semuanya standard untuk kedua-dua varian.

GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

Meluangkan masa untuk memandu kereta ini seharian memang menunjukkan kemampuannya yang cukup menyenangkan, baik dari segi pemanduan, ketersambungan dan juga pakej teknologi yang ada. Jarak 199 km itu juga sebetulnya sangat sukar untuk dihabiskan dalam masa sehari sekiranya yang kita lakukan hanyalah menguruskan rutin harian yang biasa. Memandunya pula membuktikan yang MX-30 masih kental dengan DNA Mazda Zoom-Zoom yang memberi lebih tumpuan kepada kepuasan pemanduan.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Polymetal Gray dan Machine Gray, serta pilihan dua-tona warna Jet Black Mica (dengan tiang warna perak), Zircon Sand (dengan bumbung hitam) dan Soul Red Crystal (dengan bumbung hitam). Mazda MX-30 datang dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km, yang mana dulu dan bateri pula dengan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km.

Sebuah lagi kereta EV yang berada hampir sama dengan penawaran dan harga MX-30 ini ialah MINI Electric, yang dijual pada harga sekitar RM193,834. Kereta ini juga sama, menyediakan jarak perjalanan sejauh 232 km untuk sekali cas penuh — tetapi dalam pakej yang lebih kompak berbanding MX-30. Anda rasa sesuai EV untuk dijadikan kenderaan harian?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required