Dalam usaha untuk menjadikan motosikal mereka lebih selamat daripada pencuri, BMW Motorrad telah memperkenalkan satu sistem baru yang dipanggil sebagai iFace. Ia dibangunkan bersama oleh BMW Motorrad dan ketua institut ophthalmology di University of Munich, Professor Dr. Gerhard Lesjöh, dan akan melengkapi sistem Keyless Go sedia ada pada motosikal BMW.
BMW iFace mempunyai dua sistem pengenalan utama iaitu pengenalan muka dan pengenalan mata. Bagi pengenalan muka, ia menggunakan teknologi 3D terkini dengan pengimbasnya tersembunyi di dalam panel meter TFT. Ia memerlukan pemilik untuk menanggalkan helmet, dan sekiranya muka yang diimbas sama seperti dalam data yang disimpan, barulah kunci motosikal akan terbuka dan boleh dihidupkan.
Jika mahu menggunakan iFace ini dengan masih memakai helmet, pemilik boleh memilih fungsi imbasan mata (iris/kornea). Sistem ini menggunakan imbasan infrared, dan boleh berfungsi termasuk dalam keadaan gelap ataupun terdapat halangan di hadapan mata seperti cermin mata, kanta lekap ataupun visor helmet. Mata yang diimbas akan dibandingkan dengan data dalam sistem untuk membuka kunci motosikal.
Selain daripada membuka kunci, iFace juga boleh bertindak sebagai pelapor jika ada cubaan mencuri motosikal. Apabila sistem ini mengesan keadaan sedemikian, ia akan menghantar data muka/mata pencuri ke balai polis untuk disemak (sekiranya pelaku ada rekod jenayah) dan jika tiada rekod, akan disimpan di dalam sistem untuk kegunaan masa hadapan.
Menurut ketua bahagian perlindungan kecurian BMW Motorrad, Dr. Burkhard Hund, BMW iFace telah dibangunkan dan diuji di lapangan dalam tempoh lebih tiga tahun dan turut melibatkan kerjasama dengan pihak polis. Ia akan dipasang pada motosikal boxer BMW dan dipersembahkan kepada orang ramai tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.