Audi M’sia panggil balik A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5, TT Coupe 2008-2017 – isu beg udara Takata

Audi M’sia panggil balik A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5, TT Coupe 2008-2017 – isu beg udara Takata

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) selaku pengedar rasmi Audi di Malaysia telah mengumumkan panggilan balik secara sukarela ke atas 2,767 unit kenderaan yang terdiri daripada model Audi A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5 dan TT Coupe buatan antara tahun 2008 hingga 2017. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program panggil balik ini disebabkan isu beg udara Takata atau generator gas pada beg udara bahagian pemandu, penumpang dan beg udara jenis curtain.

“Kami menggesa pemilik yang terlibat supaya menghubungi Audi Centre berhampiran untuk mendapatkan temu janji pemeriksaan serta penggantian beg udara jika perlu dan alat ganti berkaitan secepat mungkin.

“Berdasarkan kepada kemaskini terbaharu daripada pengeluar, wujud kemungkinan perumah
generator gas tersebut itu rosak sekiranya beg udara diaktifkan. Ini akan menyebabkan serpihan kecil melayang daripada perumah tersebut dan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang serius,” kata kenyataan yang dikeluarkan itu.

Tambahnya, Audi sangat menitikberatkan soal keselamatan. Malah ia akan terus menjadi salah satu faktor penting dalam usaha berterusan jenama ini untuk menambah baik aspek perkhidmatan selepas jualan.

“Kami mengenal pasti bahawa antara sebab utama pelanggan memilih Audi adalah kerana prestasi dan ciri keselamatannya. Jadi, standard tinggi ini akan kami laksanakan dengan penuh bertanggungjawab.

“Walaupun kami sudah mengenal pasti jumlah kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan
semula ini, memang ada kemungkinan bukan semua memerlukan penggantian alat ganti. Justeru,
kami ingin menggalakkan pelanggan membawa kenderaan untuk diperiksa di pusat servis,
seterusnya memberi ketenangan minda kepada mereka,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter.

Pelanggan yang tidak pasti sama ada kereta Audi mereka terlibat dalam kempen panggilan semula ini dinasihatkan supaya mengunjungi laman web Audi Malaysia. Mereka juga boleh menghubungi
Khidmat Pelanggan Audi di talian 1-800-22-2834 atau emel ke [email protected].

Menurut syarikat ini lagi, pemilik kenderaan berusia lima tahun dan ke atas juga layak untuk menyertai program Audi Plus yang dilancarkan baru-baru ini yang menawarkan diskaun penyelenggaraan sebanyak 10% di mana-mana pusat Audi Centre. Pelanggan juga akan menerima tiga baucar servis yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun selepas tahun kelima servis, selain perkhidmatan Bantuan Tepi Jalan Audi secara percuma sehingga 12 bulan dari tarikh penebusan baucar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required