Jika kita hantar kenderaan untuk diperiksa keadaannya sama ada selamat atau tidak untuk digunakan sepanjang musim cuti di bengkel-bengkel biasa, kita mungkin akan menjadi mangsa “upselling” yang dibuat oleh bengkel-bengkel yang tiak bertanggungjawab – komponen yang tidak rosak mungkin akan dikatakan rosak bagi membolehkan mereka membuat lebih banyak keuntugan
Jadi apa kata anda cuba buat pemeriksaan ini di Puspakom. Berapa bayarannya? Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal berlangsung sekitar dua minggu lagi, Puspakom kini menjalankan inisiaitf kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma kepada semua pemandu dan pemilik kenderaan persendirian bermula dari 10 April hingga 20 April 2023.
Kempen dengan tanda pagar #drivesafenoregrets ini dibuat mengingatkan orang ramai khususnya pemilik dan pemandu kenderaan persendirian yang ingin pulang ke kampung pada musim perayaan ini supaya memastikan kenderaan mereka berada di tahap kondisi yang terbaik sebelum memulakan perjalanan.
Para pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan pemeriksaan percuma ini yang juga dikenali sebagai VVI (Voluntary Vehicle Inspection) boleh hadir secara walk-in ke mana-mana cawangan Puspakom seluruh negara (kecuali cawangan Shah Alam, Taman Bukit Maluri dan Pasir Gudang) dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Dan tidak cukup dengan itu, Puspakom turut menganjurkan peraduan mudah kepada pelanggan serta Unit Pemeriksaan Bergerak juga dikerah untuk menawarkan servis percuma ini di beberapa lokasi terpilih.
Antara lokasi-lokasi tersebut adalah di Wisma DRB-HICOM (11 April 2023, 9.00 pagi – 4.00 petang), MMU Cyberjaya (kakitangan sahaja, 11 April 2023, 9.00 pagi – 4.00 petang), Setia Alam Impian (15 April 2023, 9.00 pagi – 4.00 petang) dan Lotus’s Ara Damansara (19 April 2023, 9.00 pagi – 4.00 petang).
Menurut Puspakom, Pemeriksaan Kenderaan secara Sukarela ini tertumpu kepada aspek keselamatan iaitu pemeriksaan brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, cermin gelap dan banyak lagi.
“Kempen pemeriksaan percuma sempena perayaan Aidilfitri ini bertujuan membantu pemilik kenderaan mengetahui kondisi kenderaan mereka melalui pemeriksaan yang menggunakan peralatan berkomputer Puspakom yang seterusnya maklumat ini mereka boleh gunakan sebagai rujukan untuk melakukan penyelenggaraan yang sewajarnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail.
“Pada kempen kali ini, kami beri layanan VIP kepada pelanggan yang menjalani pemeriksaan sukarela di mana mereka boleh hadir terus ke Puspakom tanpa perlu temujanji dan turut diberi keutamaan.
”Puspakom menjadikan kempen pemeriksaan kenderaan percuma ini sebagai satu tanggungjawab korporat syarikat dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan keselamatan kenderaan terutamanya ketika musim perayaan,” tambah Shukor lagi.
Anda boleh layari laman web rasmi Puspakom atau laman Facebook rasmi Puspakom untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma ini dan serta memenangi hadiah menerusi pertandingan mudah yang dianjurkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.