MForce Bike Holdings Sdn Bhd menawarkan pelbagai jenis motosikal kepada pasaran dan dalam barisan model mampu milik atau ekonomi, syarikat itu menyediakan SM Sport 110E, WMOTO VE1-110E dan juga WMOTO WM110. Harganya masing-masing adalah RM3,859, RM3,748 dan RM3,788 tidak termasuk insurans.
Tahun ini ketiga-tiga model tersebut disegarkan semula dengan grafik baru, sementara ciri teknikalnya masih lagi sama seperti sebelum ini, dengan kesemuanya dipacu enjin satu silinder sekitar 110 cc dan transmisi empat kelajuan, menghasilkan kuasa sehingga 7.1 hp dan tork 7.2 Nm (WM110).
Walaupun dengan harga yang berbeza, kesemua model ini masih datang dengan pemula enjin elektrik dan tendang, serta rim aluminium 17 inci, tetapi SM Sport 110E dan WMOTO VE1-110E cuma datang dengan brek dram hadapan dan belakang, sementara WMOTO WM110 pula mendapat brek cakera di hadapan.
Kelengkapan lain tiga motosikal ini adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, lampu jenis halogen, tangki bahan api empat liter, berat sekitar 100 kg dan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.
Kesemua motosikal ini juga ditawarkan dalam pilihan tiga warna dan jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.
GALERI: WMoto WM110 2023
GALERI: WMoto VE1-110E 2023
GALERI: SM Sport 110E 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.