Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan telah menahan dua pegawai penguat kuasa kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mendaftar semula kenderaan yang telah dilucut hak, lapor Astro Awani.
Akhbar tersebut menyatakan bahawa menerusi sumbernya kedua-dua pegawai penguat kuasa tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya oleh pegawai SPRM Kelantan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selepas dipanggil untuk diambil keterangan.
Difahamkan kini SPRM dalam proses untuk mendapatkan perintah tahanan reman. Walau bagaimanapun laporan ini tidak mendedahkan jabatan di mana dua orang pegawai berkenaan berkhidmat.
“Siasatan awal mendapati kenderaan yang terlibat dalam urus niaga tersebut adalah yang dirampas dalam tangkapan kes dadah.
“Kita juga telah mengambil keterangan beberapa lagi individu berkaitan kes ini dan kita tidak menolak akan ada beberapa lagi tangkapan dalam kes ini,” kata sumber berkenaan.
Menurut Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Hussin ketika dihubungi Astro Awani pula mengesahkan penahanan kedua-dua pegawai penguat kuasa tersebut. Beliau menyatakan jumlah rasuah dan nilai kenderaan yang terlibat masih belum diperolehi dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.