Susulan video memaparkan seorang lelaki yang membakar mercun di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sudahpun pun menahan individu terlibat.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam laporan Bernama, lelaki warga tempatan berusia 35 itu ditahan pada jam 10 malam semalam di Jalan Dagang, Kuala Lumpur.
Hasil siasatan mendapati suspek, seorang pemandu lori membakar mercun jenis cake (138) shot berhadapan stesen minyak Petronas Lotus Ampang atas permintaan pelanggan premis milik kawannya.
“Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau serta negatif ujian saringan dadah dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini dan dibenarkan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari sehingga Rabu depan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menggunakan apa-apa bahan letupan yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau kerosakan harta atau kecederaan pada orang,” katanya dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.
Mohamad Farouk menyatakan bahawa suspek juga disiasat mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana bermain dan membakar mercun dan bunga api. Beliau turut memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menggunakan bahan letupan membahayakan nyawa atau kerosakan atau kecederaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.